Bagaimana mendapatkan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat?

Keputusan pilihan raya yang dijangka

MANDAT rakyat sudah jelas. Namun agak sukar untuk menentukan siapa yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri dan seterusnya menjadi Ketua Kerajaan. Ini kerana tiada satu parti atau gabungan parti politik yang berjaya mendapat majoriti mudah ahli Dewan Rakyat.

Advertisement

Masa 120 hari

Menurut peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, mesyuarat Parlimen yang pertama hendaklah diadakan dalam masa 120 hari dari tarikh pembubaran Parlimen. Justeru Parlimen hendaklah diadakan pada awal Februari. Kerajaan perlu dibentuk lebih awal dari tarikh persidangan Parlimen yang pertama ini. 

Mengenai jangka masa, persidangan Parlimen pertama jika dihitung mulai hari ini hendaklah diadakan dalam masa lebat kurang 80 hari lagi. 

Walaupun masa lebih kurang 80 itu masih boleh digunakan sepenuhnya, namun kerajaan perlu dibentuk seawal mungkin kerana negara perlukan kerajaan bagi urusan pentadbiran negara. Walau apapun, kestabilan kerajaan perlu dititik berat kerana pastinya kerajaan yang stabil dapat memberikan fokus kepada pentadbiran dan urusan negara dan tidak digugat oleh permainan politik.

Tiada majoriti kerusi Parlimen

Oleh kerana tiada parti atau pakatan parti yang mendapat majoriti mudah, maka nampaknya perlu ada satu proses yang tidak ditetapkan oleh undang-undang, iaitu penggabungan parti-parti bagi membolehkan parti-parti tersebut membentuk majoriti mudah.

Dari segi undang-undang, bagi tujuan pelantikan Perdana Menteri, ia adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Perkara ini kita amat jelas. Ia diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) yang memperuntukkan: 

“Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;….”

Walaupun begitu kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(2)(a) ini perlu dibaca bersama dengan Perkara 43(2)(a).

Perkara 43(2)(a) menetapkan dua syarat lantikan Perdana Menteri. Pertama, seseorang itu hendaklah ahli Dewan Rakyat. Maksudnya seseorang itu memenangi kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum. Kedua, seseorang itu hendaklah pada hemat (judgment) Yang di-Pertuan Agong bahawa seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Dengan kata lain, Baginda Yang di-Pertuan Agong hendaklah berkeyakinan dalam keputusan baginda bahawa seseorang itu mempunyai ‘kepercayaan’ majoriti Ahli Dewan Rakyat. 

‘Kepercayaan Ahli Dewan Rakyat’

Apakah maksud frasa ini? Frasa ini tidak mewajibkan bilangan ‘kerusi’ majoriti, tetapi ‘kepercayaan’. Pada kebiasaannya syarat ‘kepercayaan’ ini ditetapkan melalui bilangan kerusi. Bilangan kerusi memang memudahkan tugas Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan berkaitan perkenan baginda kepada seseorang Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. 

Pada peristiwa Februari 2020 dan Ogos 2021 bagi pelantikan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong mengambil pendekatan mendapatkan mendapatkan kenyataan setiap Ahli Parlimen secara individu. Maksudnya tiada gabungan parti politik, dan tiada bilangan kerusi. Baginda telah mengguna pendekatan tepat, iaitu memastikan ‘kepercayaan’ majoriti Ahli Dewan Rakyat. 

Gabungan parti atau ‘kepercayaan’

Apabila diperhatikan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, terdapat dua kemungkinan yang boleh dilakukan bagi tujuan mendapat ‘kepercayaan’ kepada seseorang untuk namanya disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Ia juga boleh memudahkan Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Perdana Menteri. 

Kemungkinan pertama ialah membentuk gabungan parti. Maksudnya parti politik lain bergabung dalam bentuk gabungan selepas pilihan raya. Penggabungan ini dapat menambah jumlah kerusi kepada parti-parti yang bergabung. Penggabungan ini tidak dihalang oleh undang-undang Anti-Tukar Parti kerana ia melibatkan gabungan parti, bukan individu yang bertukar parti.

Kemungkinan kedua ialah, Ahli Parlimen memberikan ‘kepercayaan’ mereka kepada seseorang dari parti politik yang lain. Dalam kemungkinan ini, tidak berlaku gabungan parti, tetapi Ahli-ahli Parlimen, tanpa bertukar parti, memberikan ‘kepercayaan’ kepada seseorang untuk diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Dalam keadaan ini amalan parti politik perlu berubah dengan tidak mengambil tindakan disiplin ke atas Ahli Parlimen yang memberikan kepercayaan kepada seseorang lain dan bukan dari parti sendiri.

Kita doa dan usahakan ke arah jalan mudah dan baik untuk negara untuk kita membentuk kerajaan.

PROF. MADYA DR. SHAMRAHAYU AB AZIZ
Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA – HARAKAHDAILY 22/11/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100063657694353/posts/pfbid0yyyDwV7zS5wSEq9gDYUAjaKLBCCXVBMtyhRCSnFYCKLzkuAUFVo7sitZ7AdDjdJSl/?sfnsn=mo&mibextid=6aamW6 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.