Bukan-Muslim ditakutkan teori PAS bakal amal negara teokrasi

PENDAHULUAN 

Advertisement

Apabila PAS berjaya memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya ke-15, beberapa pihak cuba menakut-nakutkan masyarakat bukan-Islam dengan PAS, kononnya PAS akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara teokrasi yang akan menzalimi penganut agama lain.

Betapa dakwaan itu sangat tidak berasas dan strategi terdesak, jika kita melihat contoh praktikal pemerintahan PAS di tiga buah negeri: Kelantan, Terengganu dan Kedah. 

Apakah negara teokrasi?

Secara umumnya, negara teokrasi ialah sistem pemerintahan di mana paderi memerintah atas nama Tuhan semata-mata, tanpa mengambil kira kehendak rakyat, bahkan paderi itu sendiri pun bukanlah dipilih oleh rakyat.

Malaysia pula adalah sebuah negara yang mengamalkan dasar Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Jadi Malaysia bukanlah negara teokrasi.

Sementara PAS pula adalah sebuah parti politik di Malaysia yang bergerak dalam rangka Perlembagaan dan undang-undang Negara. 

Oleh itu, PAS hanya boleh mentadbir negeri atau negara jika diberi mandat oleh rakyat dengan memenangi Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum setiap 5 tahun sekali.

Jika begitu, adakah PAS akan memerintah secara teokrasi apabila memenangi sesuatu pilihan raya? Ia tidak akan dimungkinkan oleh Perlembagaan Negara dan sistem Raja Berperlembagaan. 

Jadi kenapa masih menuduh PAS begitu? Tidak lain tidak bukan, melainkan ia adalah strategi licik hendak memberikan persepsi buruk mengenai PAS kepada golongan non Muslim.

PAS dan teori pemerintahan 

PAS mendukung prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Prinsip Raja Berperlembagaan bagi memastikan kebebasan demokrasi tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan mutlak mereka sehingga merungkaikan nilai-nilai dan asas utama pembentukan negara Malaysia.

Prinsip ini juga boleh menjamin pertikaian dan kemelut politik tidak berkesudahan antara parti-parti politik yang boleh memudaratkan negara mampu diselesaikan oleh pihak yang tidak berkepentingan yang saling dihormati oleh setiap pihak yang bertelingkah.

Prinsip demokrasi Berparlimen pula, hampir menyamai konsep pemilihan pemerintah berdasarkan konsep Syura di dalam Islam, iaitu pemilihan pemimpin berdasarkan sokongan rakyat.

PAS sudah menyertai pilihan raya sejak 1951 lagi

Bukan-Islam dan bukan-Melayu di Kelantan 

Walaupun bukan Islam adalah golongan minoriti di Kelantan, namun selama lebih 30 tahun PAS memerintah Kelantan, tidak pernah seorang pun bukan-Islam dipaksa masuk Islam, atau dinafikan hak mengamalkan agama dan adat budaya masing-masing. 

Patung Buddha tidur di Tumpat, tidak pernah diganggu oleh Kerajaan Kelantan. Ia masih terus tidur, tidak dikejutkan atau diganggu oleh sesiapa.

Bahkan Kerajaan Kelantan sentiasa melantik penghulu-penghulu bukan-Islam daripada pelbagai suku kaum untuk memudahkan pelbagai urusan mereka dengan pihak Kerajaan, termasuk dengan mengadakan perjawatan penghulu tanpa mukim.

Bukan-Islam di Terengganu dan Kedah 

Kerajaan Terengganu dan Kedah juga banyak mengikuti langkah Kerajaan Kelantan dengan beberapa pengubahsuaian dengan maksud yang sama. 

Iaitu menjamin hak kebebasan setiap warganegara untuk mengamalkan agama dan adat resam mereka tanpa sebarang gangguan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Faktanya ialah tidak ada sebarang isu panas berkaitan agama, budaya dan adat resam di tiga buah negeri yang ditadbir oleh PAS.

Semua bangsa dan suku kaum hidup dalam keadaan harmoni dan hormat menghormati.

PAS semakin difahami oleh masyarakat non Muslim

Untuk mendepani ‘racun-racun hasutan berbentuk keagamaan dan perkauman’ terhadap PAS, PAS sentiasa terbuka kepada dialog melalui pelbagai pentas.

Termasuk bagi memberikan penjelasan mengenai isu hukum hudud yang hanya akan dilaksanakan di kalangan orang Islam sahaja, dan hanya akan dilaksanakan setelah berjaya melalui proses kelulusan mengikut lunas-lunas demokrasi dan selari dengan Perlembagaan Negara.

Penubuhan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) adalah manifestasi kesungguhan PAS untuk menunjukkan keikhlasan mereka dalam berinteraksi dengan non Muslim serta menghilangkan persepsi buruk golongan itu terhadap PAS.

Kemajuan paling tinggi dalam mengetengahkan agenda ini ialah apabila Majlis Syura PAS telah membenarkan ahli DHPP bertanding mewakili PAS dalam Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum.

PAS sentiasa cuba memahami masyarakat non Muslim, dan sentiasa berusaha untuk difahami oleh mereka juga.

Bekerjasama dengan parti-parti yang berasaskan kepimpinan bukan-Islam

PAS mempunyai sejarah yang panjang bekerjasama dengan parti-parti yang mewakili golongan bukan-Melayu dan bukan-Islam. 

Ini membuktikan ia sangat bersedia berunding dan bekerjasama dengan semua pihak mengikut syarat-syarat minimum yang ditetapkannya demi pembentukan sebuah negara Malaysia yang gemilang.

Penutup 

Konsep ‘Tiada Paksaan Dalam Agama’ (al-Baqarah: ayat 56) dan konsep ‘kepelbagaian bahasa dan warna kulit adalah tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T’ ( ar-Rum: ayat 22) adalah prinsip yang ditetapkan oleh al-Quran.

Al-Quran pula adalah rujukan tertinggi di dalam PAS.

Alangkah tidak bertanggungjawabnya pihak yang menuduh PAS sebagai rasis dan ekstrem, sedangkan PAS sentiasa berusaha menzahirkan kemurnian al-Quran di alam nyata.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
Marang, 22 November 2022 – HARAKAHDAILY 22/11/2022