Tempoh setahun lebih 100 inisiatif dilaksana Menteri Agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh setahun Dato’ Idris Ahmad mengetuai Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) lebih 100 inisiatif telah dilaksanakan meliputi pelbagai aspek.

- Advertisement -

Antaranya Dasar dan Transformasi Pengurusan, Kesejahteraan Sosial Pendidikan, Dakwah dan Pembangunan Insan, Perundangan, Sosio Ekonomi, Transformasi Penyampaian Perkhidmatan dan Media Penyiaran.

Idris berkata, dalam tempoh garis masa itu Agensi Islam JPM (Hal Ehwal Agama) sentiasa terkehadapan membawa mesej prihatin melalui program Musa’adah Agensi Islam.

Katanya, sebanyak RM319 juta telah disampaikan kepada masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan musibah.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua warga agensi Islam #Pasukan Menteri Agama yang sentiasa komited melaksanakan tugas dengan jayanya.

“Para anggota perkhidmatan awam begitu profesional dalam tugasan mereka. Saya berbangga dengan kalian semua,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Idris dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Agama di bawah pentadbiran Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Dato’ Zulkifli Mohamad al Bakri.

Kejayaan itu dirakam dalam Kad Laporan Prestasi 1 tahun pentadbiran Hal Ehwal Islam.

Kata beliau juga amanah yang diberi untuk menjaga agama Islam dan umat Islam khususnya.

“Pada masa yang sama memayungi kesejahteraan masyarakat yang berbilang agama dan budaya. Semoga kesyumulan Islam akan terus terserlah dan terzahir dengan kesatuan umat Islam.

“Sesungguhnya saya tidak sempurna. Pun begitu, tanggungjawab yang diberi wajib dilaksana sedaya mampu dengan penuh integriti, jujur, ikhlas dan itqan (berkualiti) demi kepentingan ummah,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 16/11/2022

- Advertisement -