Debaran menanti pilihan 19 November

Foto hiasan.
- Advertisement -

Sesetengah pengundi sudah lama membuat keputusan yang tidak berubah walau apa pun senario politik yang berlaku. Mereka dikategorikan sebagai pengundi tegar dan hampir setiap parti atau gabungan parti mempunyai pengundi begini.

- Advertisement -

Namun ada juga kelompok pengundi yang berubah-ubah apabila membuat keputusan dengan mengundi Parti A pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mungkin mengundi Parti B pada PRU15. Mereka ialah ialah pengundi atas pagar yang tidak mempunyai kesetiaan terhadap mana-mana parti atau gabungan parti.

Keunikan PRU15 ialah kemunculan pengundi muda dan juga pengundi baharu yang tidak pernah mengundi, tetapi berikutan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik menyebabkan kemunculan golongan ini amat penting jika mereka keluar mengundi.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), golongan Undi18 yang berumur antara 18 hingga 20 tahun yang buat kali pertama akan mengundi adalah kira-kira 1.4 juta, manakala yang berumur antara 21 hingga 29 tahun seramai 4.6 juta.

Ini bermakna terdapat kira-kira enam juta pengundi muda atau kira-kira 29 peratus daripada keseluruhan pengundi yang boleh memberi kesan besar terhadap pola pengundian, Sabtu ini.

Faktor calon jadi pilihan

Mengikut kajian Merdeka Centre, pengundi pada PRU15 lebih cenderung melihat profil dan kemampuan calon menyelesaikan isu semasa yang dihadapi.

Pengurus Penyelidik Kanan Merdeka Centre, Tan Seng Keat, berkata kecenderungan itu ketara dalam kalangan golongan muda, manakala pengundi veteran, terutama yang berumur 60 tahun ke atas masih mengundi berdasarkan parti dan perjuangannya seperti kaum, agama dan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya pengundi muda melihat isu lain, isu-isu semasa dan idea-idea yang dibawa oleh calon yang bertanding.

“Ramai pengundi akan tengok siapa calon. Adakah calon bidan terjun atau orang tempatan, memang disukai atau sudah lama berkhidmat di kawasan tertentu sebelum dipilih oleh partinya sebagai calon,” katanya.

Berikutan PRU15 tidak mempunyai isu besar seperti 1MDB dan GST yang hangat dalam PRU14, isu calon yang mampu berkhidmat dengan cemerlang untuk membawa rakyat keluar dari himpitan cabaran ekonomi menjadi pemberat yang kritikal.

Selain peribadi, jantina, kerjaya dan prestasi semasa, Seng Keat menyatakan bahawa kemampuan kewangan calon memainkan peranan besar untuk memikat hati pengundi, terutama di luar bandar.

Sementara itu, kajian Ilham Centre mendapati 38 peratus segmen pengundi Melayu lebih mementingkan isu berbanding faktor calon dan parti, manakala 38 peratus pengundi Cina melihat faktor calon dan 38 peratus pengundi India juga melihat isu calon.

Bagi pengundi Bumiputera Muslim pula, sebanyak 42 peratus melihat isu, 33 peratus memilih faktor calon, manakala 23 peratus melihat faktor parti.

Hasil keputusan dua pusat kajian itu juga selari dengan hasil dapatan undian semasa portal berita HarakahDaily bahawa isu paling berpengaruh dalam kempen PRU15 ialah integriti dan peribadi calon. Ini diikuti oleh harga barang, tawaran dan manifesto, prestasi kerajaan dan kestabilan politik.

PERIKATAN NASIONAL mendahului

Tidak hairan dengan penekanan pengundi terhadap faktor calon menyebabkan PERIKATAN NASIONAL mendahului sepanjang minggu pertama kempen PRU15.

Barisan Nasional (BN) yang beria-ia untuk mengadakan PRU15 lebih awal dengan memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya membubarkan Parlimen, kini bukan sahaja ketinggalan, malah dilihat tidak bersedia.

Pemerhatian Harakah di kawasan Parlimen Bandar Baru Bangi, Selangor (kawasan bandar) dan Bagan Serai, Perak (luar bandar) mendapati momentum kempen PERIKATAN NASIONAL mendapat sambutan hebat, terutama dalam kalangan pengundi muda.

Ini dapat dilihat berdasarkan kehadiran menggalakkan di program ceramah dan juga kelebihan dalam perang bendera. Malah seawal hari penamaan calon, kehadiran penyokong PERIKATAN NASIONAL mengatasi gabungan parti politik lain.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata PERIKATAN NASIONAL jelas adalah pendahulu dalam kempen PRU15, diikuti PH dan BN.

“Poster dan bendera PERIKATAN NASIONAL ada di mana-mana dan PH tidak terlalu jauh di belakang. Saya tidak pasti mengapa BN mengekori di belakang. Mereka menetapkan agenda, tetapi selepas penamaan calon, mereka (BN) yang ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata, PERIKATAN NASIONAL dan PH juga menonjol dari segi sesi bertemu pengundi melalui ceramah waktu malam dan kempen secara dalam talian.

“Jika anda lihat hantaran dalam media sosial, ia hanya PERIKATAN NASIONAL dan PH. Begitu juga ceramah dalam talian di Facebook Live. Kedua-dua gabungan parti politik ini aktif, tetapi BN kelihatan sebaliknya,” katanya.

BN kucar-kacir

Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kini dilihat menjadi liabiliti kepada Umno dan BN dengan beberapa tindakannya mengundang kecelaruan dalam partinya.

Pengguguran pemimpin penting peringkat negeri seperti Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Shahidan Kassim daripada mempertahankan kawasan Parlimen masing-masing, bukan sahaja merisikokan kemenangan BN, malah memecah-belahkan perpaduan parti.

Calon BN di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, pula secara terbuka menunjukkan hubungan bermasalahnya dengan Ahmad Zahid.

Badrul Hisham Ismail dari kumpulan pemikir IMAN Research, berkata BN tidak dapat merapatkan jarak dengan PERIKATAN NASIONAL dan PH kerana kegagalan menangani isu dalaman, termasuk ketidakpastian mengenai calon Perdana Menteri bagi gabungan parti itu.

Menurutnya, PERIKATAN NASIONAL dan PH melakukan dengan baik menarik orang ramai dalam program anjuran gabungan parti politik berkenaan.

Katanya, semakin ramai yang marah dengan BN berikutan pelbagai isu kebelakangan ini, termasuk gangguan perkhidmatan LRT dengan menteri dari MCA dipersalahkan, selain menerima kritikan dalam media sosial berikutan banjir di beberapa negeri. – HARAKAHDAILY 16/11/2022

- Advertisement -