Anak muda pilih calon bersih, bebas rasuah

- Advertisement -

ARAU: Keghairahan anak-anak muda untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih tidak dapat dibendung lagi apabila ada dalam kalangan mereka sudah balik kampung menunggu detik Sabtu ini.

- Advertisement -

Hakikat itu dikongsi pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Nur Farah Nadia Abd Halim, 18, yang akan pulang melunaskan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Kedah.

Katanya lagi, sebagai pengundi kali pertama beliau perlu mengkaji terlebih dahulu calon yang mahu diundi.

“Perasaan berdebar sebab kita nak pilih siapa yang akan memerintah kerajaan kita nanti, perlu buat banyak homework (kajian) untuk kaji latar belakang calon dan parti.

“Setiap satu undi itu amat penting, pertama sekali kajian yang saya buat dari segi calon itu datang dari parti mana, sebab perlu tahu keseluruhan parti politik itu macam mana, kemudian barulah profil calon,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya juga sebagai orang muda mereka perlu mengambil peluang untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan ada integriti.

Afeerah Azman, 20, juga dari UUM turut merasai teruja untuk menjadi antara penentu masa depan negara pada 19 November ini.

“Saya akan tengok apa yang dah dibuat dan juga sejarah keterlibatan calon dalam politik. Kalau sudah banyak perubahan yang beliau lakukan saya akan pilih dia.

“Parti juga antara perkara yang perlu dilihat, ada baik dan buruknya. Jika terlibat dengan rasuah memang saya tidak akan pilih. Kita akan pilih calon yang bersih,” ujarnya yang berasal dari Terengganu.

Beliau turut menyeru anak-anak muda supaya turun mengundi pada Sabtu ini bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar cakna terhadap rakyat dan bebas penyelewengan.

“Saya dahulu tak suka politik, tetapi apabila telah mencapai umur yang wajib keluar mengundi jadi tanggungjawab ini saya pikul.

“Sebagai rakyat Malaysia ini tanggungjawab kita. Saya tidak akan biarkan negara ini dipimpin pemimpin yang bermasalah dan tiada integrity tinggi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2022

- Advertisement -