PRU15: Terengganu timbang cadangan cuti khas

- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan pemberian cuti khas selepas hari pengundian (Ahad) bagi memudahkan pergerakan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Terengganu.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Rabu ini.

“Kita akan tengok apa langkah terbaik sebab tahun ini ada beberapa cuti yang kita telah ambil cuti peristiwa tetapi apa-apa pun kita akan pertimbangkan.

“Insya-Allah… hari ni baru hari Sabtu kan? Ada masa lagi, rilekslah. Keputusan biarlah ada kaedah dan prosesnya bukan boleh suka-suka buat keputusan bila-bila masa kan,” katanya selepas program santai petang bersama masyarakat setempat di Kampung Tanggol di sini, semalam.

Tambahnya, apapun keputusan akan dibawa dalam mesyuarat pada minggu ini dan akan dimaklumkan kelak.

“Negeri ada berbeza-beza sebab pengundian pada hari Sabtu, ada yang cuti pada hari Jumaat untuk balik mengundi, tetapi di Terengganu, Jumaat memang dah cuti jadi kita tengoklah macam mana kita nak buat nanti,” ujarnya. – TRDI.my

- Advertisement -