Serang Presiden PAS jadi ‘ubat tahan sakit’ PH

- Advertisement -

SUKA saya membawa penulisan ini untuk mengajak semua rakyat Malaysia berfikir secara waras dalam menerima berita ataupun isu yang disebarkan oleh PH terutamanya. Pembohongan, fitnah adalah dua teras utama mereka dalam berkempen semenjak dahulu lagi. Kemudian, mereka akan menangis merengek memberitahu sekalian alam bahawa mereka yang dianiaya. Contoh terbaik ialah baru-baru ini, Anwar dengan tiba-tiba mendakwa Presiden PAS menuduhnya sebagai anggota Freemason. Presiden PAS menjawab mudah, dia yang memukul, dia yang menangis.

- Advertisement -

Begitu juga dengan isu yang sedang hangat dibawakan oleh PH berkenaan Presiden PAS ponteng sidang Parlimen, sambil menunjuk bangga kad laporan kehadiran Ahli Parlimen mereka. Mereka tiada kad laporan pentadbiran bersih kerana rasuah. Mereka tidak juga mempunyai laporan mereka memajukan negara kerana hanya ada 22 bulan menjadi kerajaan. Tidak terdapat juga penceritaan mengenai kejayaan mereka menjaga agama Islam, kerana sebab yang kita maklum. Menjaga kepentingan Melayu juga gagal ditunjukkan. Yang PH ada sebagaimana kata Presiden PAS, mereka cenderung kepada Komunis.

Jadi dibawakan naratif Presiden PAS ponteng sidang Parlimen, sebagai ubat penahan sakit kepada peminat mereka yang masih bodoh serta dungu itu bertahan dengan fitnah dan penipuan ini. Cekal dan tegar sungguh peminat PH ini, walau sudah bertahun mereka berendam dalam tasik urin yang hapak itu. Mereka belum mahu naik ke darat, mencari kebenaran, mereka bergurau, bergembira sambil memercik air urin itu sesama mereka. Begitulah, jika sudah ketagih kencing, apa boleh buat. Mereka merasa puas.

Menurut Perlembagaan Malaysia, Artikel 52.1 menyebut, seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan mereka jika gagal hadir ke sidang Parlimen selama enam bulan berturut-turut. Saya mencari adakah sejarah Ahli Parlimen yang telah dilucutkan kelayakannya kerana tidak hadir selama enam bulan itu. Tiada dapatan yang saya jumpa. Yang ada hanyalah kerana kesalahan yang mereka hadapi di mahkamah yang didenda RM2,000 atau lebih. Itu sahaja.

Kemudian saya menjumpai satu kes yang terjadi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Seputih di Kedah. Beliau gagal menghadiri dua kali berturut-turut Sidang DUN Kedah pada tahun 2009 yang membawa kepada pengisytiharan beliau dilucutkan jawatan ADUN oleh Speaker DUN Kedah. Tetapi SPR tidak menerima notis itu dan mengekalkan beliau sebagai ADUN.

Ponteng menurut Kamus Dewan bermaksud membuat sesuatu yang menyalahi undang-undang. Jelas sekarang, tiada kes Ahli Parlimen atau ADUN hatta dari PH sekalipun yang pernah menghilang berjemaah sewaktu berkuasa, dikenakan tindakan disiplin atas alasan ponteng persidangan. Perkataan ponteng sengaja digunakan bagi memberikan persepsi negatif kepada Presiden PAS. Sedangkan, jika memberikan sebab ketidakhadiran mereka itu, mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan dari segi perundangan.

Tugas Ahli Parlimen bukan duduk dalam Parlimen sahaja. Tidak juga bercakap melalak tidak berhenti-henti seperti Jelutong, sehingga mengarut meraban. Mereka boleh mengagih-agihkan tugasan sesama mereka. Menyertai perbahasan yang berkaitan dengan kawasan atau bidang mereka. Bersoal jawab atas soalan yang mereka kemukakan. Boleh keluar dan masuk jika ada urusan lain. Boleh memberikan soalan lisan mahupun bertulis. Boleh mendengar perbahasan di kafe. Jika ada mesyuarat dengan parti mereka, boleh hadir atau perjumpaan dengan rakyat dan agensi kerajaan. Begitulah keadaannya.

Presiden PAS seorang yang penting dalam dunia Islam, diamanahkan memegang jawatan utama dalam dunia politik Islam. Beliau tidak seperti Rafizi yang hanya menjaga Invoke yang dahulunya pertubuhan bukan berasaskan keuntungan tetapi kini dia menjadi jutawan selepas mengutip derma dahulu. Ahli Parlimen PH yang tiada tugasan penting, boleh duduk 24 jam dalam Parlimen yang sejuk itu, kerana dia tidak diperlukan di dunia luar sana.

Dan kerana PH merasa terancam dengan serangan berbisa Presiden PAS mengenai rancangan mereka untuk memerintah Malaysia menurut cara bukan-Islam, maka mereka menyerang Presiden PAS dengan serangan fitnah yang jahat ini. Rakyat sudah sedar dan berjaya mengesan cara penipuan mereka yang tiada pembaharuan itu dengan maklumat yang disebarkan Presiden PAS. Jadi mahu tidak mahu, mereka mesti menyerang peribadi Presiden PAS melalui cara ini.

MOHD NASIR ABDULLAH
13 November 2022 – HARAKAHDAILY 13/11/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -