Bakri, jadi buruan syarikat perladangan

Bakri Jamaluddin calon PERIKATAN NASIONAL untuk P136 Parlimen Tangga Batu.
- Advertisement -

BELIAU pernah menjadi calon PERIKATAN NASIONAL-PAS bagi DUN Klebang, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke 15 tahun lepas dengan kemenangan yang tertangguh. Dan sebaik selesai sahaja PRN itu tiga syarikat perladangan menawarkan beliau untuk bekerja di syarikat mereka.

- Advertisement -

Tiga syarikat itu ialah Felda Global Ventures (FGV), Minamas Plantation milik Sime Darby di Indonesia dan Puncak Niaga Holdings Berhad. Semuanya menawarkan jawatan tinggi seperti Ketua Pegawai Operasi (COO) dan sebagai Pengarah Urusan.

Akhirnya, daripada tiga tawaran yang diterima itu, beliau memilih untuk berkhidmat dengan Puncak Niaga. Beliau telah diamanahkan sebagai Pengarah Urusan di salah satu anak syarikat Puncak Niaga yang menjalankan perniagaan perladangan di Sarawak iaitu Danum Sinar Plantation.

Semua ini ialah kerana kepakarannya dalam bidang perladangan dan pengalaman luasnya dalam bidang ini yang pernah menguruskan ladang sehingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau sebelum ini telah berkhidmat dengan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), sebuah syarikat perladangan terbesar negara selama 34 tahun (1985-2019) dengan jawatan terakhir beliau ialah sebagai Pengurus Besar Kanan di ladang syarikat itu di Indonesia.

Namun beliau meletakkan jawatan beliau sebagai Pengarah Urusan di Puncak Niaga baru-baru ini bagi membolehkan beliau bertanding di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

Beliau yang dimaksudkan ini adalah Bakri Jamaluddin yang merupakan calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi Kawasan Parlimen P136 Tangga Batu, Melaka. Beliau juga adalah Timbalan Pesuruhjaya-1 PAS Melaka dan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu.

Beliau yang pada tahun ini berusia 58 tahun adalah anak jati Tangga Batu dan dilahirkan di sini. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tangga Batu. Kemudian beliau mengikuti keluarganya berpindah ke Kem Lok Kawi, Sabah kerana ayahnya bertugas sebagai tukang masak tentera.

Beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Seri Tanjung di Tanjung Kling, Tangga Batu. Kemudian melanjutkan Pelajaran ke peringkat Diploma Pertanian di Universiti Putra Malaysia yang pada ketika itu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia.

Semasa pemerintahan Perikatan Nasional di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau pernah diamanahkan sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Dispute Resolution Committee (DRC) Malaysia Palm Oil Certification Council (MPOCC).

Beliau menjadi popular dalam kalangan penduduk setempat apabila dilantik sebagai Pengerusi Masjid Tun Ghaffar Baba Sungai Udang selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional Negeri Melaka pada tahun 2020.

Pengurusan beliau yang telus sepanjang beliau menjadi pengerusi masjid telah menjadi buah mulut orang ramai selain pengimarahan masjid yang sangat aktif. Beliau juga mengetepikan sentimen politik sepanjang beliau menjadi pengerusi masjid dengan sebarang bentuk aktiviti yang melibatkan parti politik dilarang untuk dijalankan di masjid walaupun oleh parti PAS sendiri.

Malah apabila khidmat beliau sebagai pengerusi masjid tidak disambung oleh kerajaan pada tahun 2021, ramai anak kariah kesal dengan tindakan kerajaan itu yang membuat keputusan di atas sentimen politik. Anak kariah tetap mahu Bakri terus memimpin Masjid Tun Ghafar Baba.

Namun pihak kerajaan tetap kekal dengan keputusan mereka. Yang menariknya anak-anak kariah dalam kalangan ahli Umno dan pimpinan Umno tempatan sendiri menyokong Bakri. Begitulah aura kepimpinan yang ada pada Bakri.

Bakat kepimpinan yang ada pada beliau, penglibatan beliau di dalam masyarakat dan kepakaran beliau dalam bidang perladangan menjadi aset penting yang boleh diketengahkan sekiranya beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Tangga Batu dan Perikatan Nasional berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Penulis dapat mengikuti beberapa kali kempen beliau. Dan sambutan daripada masyarakat sangat baik dengan kebanyakan pengundi menyatakan komitmen untuk untuk memberikan undi mereka kepada beliau.

Malah beliau juga ada dihubungi oleh tokoh-tokoh pimpinan Umno-BN dan Pakatan Harapan (PH) sendiri yang bersedia untuk memberikan undi kepada beliau melihat kepada kredibiliti dan karisma yang ada pada beliau.

Penulis melihat peluang beliau cerah sekiranya momentum kempen dan sokongan yang ditunjukkan rakyat bertambah baik atau berkekalan sehingga ke hari mengundi. Sayang jika kita sia-siakan tokoh hebat ini. Beliau harus diangkat sebagai Ahli Parlimen Tangga Batu pada 19 November ini. – HARAKAHDAILY 13/11/2022

- Advertisement -