Sultan Muhammad V saran promosi agenda ‘Kelantan Sihat’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada proses pemulihan, khususnya dari segi ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Antara sektor yang perlu diberi tumpuan iaitu pelancongan memandangkan ia berjaya menjana ekonomi penduduk setempat

Baginda berpandangan untuk merancakkan semula kegiatan ekonomi, tumpuan harus diberikan kepada sektor pelancongan baharu, khususnya berasaskan ‘rekreasi bersama keluarga’.

“Dari segi pelancongan, produk sedia ada yang menjadi tumpuan seperti ‘Train To Dabong’, Zoo Mini Kuala Krai dan Laman Warisan Kampung Laut perlu dikembang dan dipromosikan,” titah baginda sempena ulangtahun Keputeraan ke-53 di Istana Balai Besar di sini semalam.

Sultan Muhammad V turut mencadangkan kerajaan negeri terus mempromosikan agenda ‘Kelantan Sihat’ bagi mewujudkan budaya dalam kalangan masyarakat dan individu yang sihat mental, fizikal dan rohani.

Selain itu dapat mewujudkan lebih banyak pusat bimbingan dan kaunseling dan pusat rekreasi baharu.

“Beta dimaklumkan kerajaan negeri sedang merancang pembangunan bandar-bandar baharu di seluruh negeri. Besar harapan beta perancangan mengambil kira ciri-ciri unik setiap bandar yang akan dibangunkan sebagai pusat kegiatan ekonomi dan komersil,” titah baginda.

Baginda juga meluahkan rasa gembira dengan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi termasuk Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, Central Spine Road (CSR).

Selain itu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang sedang giat dijalankan sekarang dan diharap siapkan dalam masa ditetapkan.

Baginda juga turut berharap kerajaan negeri mempertingkatkan lagi kecekapan sistem penyampaian dan pengurusan, di samping mengemas kini semula prosedur tertentu. – HARAKAHDAILY 13/11/2022

- Advertisement -