Manifesto PN BEST dan PN Pahang, itulah hasrat rakyat

- Advertisement -

KUALA KRAU: Tawaran PERIKATAN NASIONAL (PN Best) yang diumumkan mempunyai keseragaman dengan manifesto yang ditawarkan PN Pahang.

- Advertisement -

Calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari, berkata perbezaaan hanya dari aspek keperluan rakyat tempatan berbanding keperluan seluruh rakyat Malaysia.

Contohnya kata Kamal, dari aspek menyediakan peluang pekerjaan apabila PN Best menawarkan sejuta peluang pekerjaan, manakala PN Pahang menawarkan 50,000 peluang pekerjaan.

“Asasnya sama, contoh tawaran anak muda, kalau di pusat tawar sejuta peluang kerja, kalau di peringkat negeri kurang sikit, tetapi benda yang sama juga.

“Begitu juga insentif kepada suami atau isteri yang menjaga ibu bapa atau pasangan, dibenarkan ambil cuti untuk jaga suami sakit, jadi insentifnya lebih kurang.

“Sebab itu PERIKATAN NASIONAL perlu menang baik DUN dan juga Kerajaan Pusat supaya benda ia boleh dilaksanakan secara serentak apabila kerajaan pusat dan kerajaan negeri adalah parti yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily semasa menghadiri program pertandingan persahabatan bola sepak bersama anak-anak Orang Asal di Padang Awam Kampung Paya Luas, di sini, semalam.

Menurutnya, rakyat tidak mempunyai pilihan lain selain PERIKATAN NASIONAL jika melihat kepada tawaran PN  yang menjanjikan apa yang diperlukan rakyat ketika ini.

“Jika perhatikan tawaran-tawaran, itulah sebenarnya hasrat rakyat, baik negeri ataupun di pusat.

“Justeru, rakyat perlu yakin dan percaya untuk beri peluang kepada PERIKATAN NASIONAL dalam Parlimen, Dewan Rakyat dan juga Dun,” katanya.

Terdahulu, PERIKATAN NASIONAL Pahang mengumumkan 12 tawarannya dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebahagian besar berkait dengan keperluan ekonomi rakyat negeri ini dengan bertemakan ‘Pahang Berkat, Makmur dan Sejahtera’. – HARAKAHDAILY 10/11/2022

- Advertisement -