Cuti umum Ahad, Isnin jika PERIKATAN NASIONAL menang

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia akan menerima cuti umum pada 20 November (Ahad), bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor serta 21 November (Isnin) bagi negeri lain jika PERIKATAN NASIONAL menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

- Advertisement -

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cuti berkenaan merupakan tawaran tambahan manifesto PERIKATAN NASIONAL yang diumumkannya malam ini.

“Saya tahu keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi. Ini termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman atau di tempat lain daripada tempat tinggal mereka.

“Jadi saya nak umumkan, jika PERIKATAN NASIONAL menang dalam pilihan raya pada hari Sabtu, 19 November nanti, kita akan isytihar cuti umum pada hari Ahad bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan hari Isnin bagi negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Manifiesto Tawaran PERIKATAN NASIONAL Best, di Hotel Glenmarie, di sini, malam ini.

Cuti berkenaan kata Muhyiddin akan membolehkan pengundi luar keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin.

Untuk rekod, sebanyak 234 tawaran dikemukakan PERIKATAN NASIONAL merangkumi 12 tunjang dan 30 pendekatan pada PRU kali ini bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST.

Tunjang utama manifesto menyentuh berkenaan membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai taraf hidup rakyat, membersihkan politik dan tadbir urus, serta mensejahterakan bumiputra, orang asli dan semua kaum.

Selain itu, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan, memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda, serta mengoptimumkan potensi wanita.

Membina warga emas yang sejahtera, memperkasa OKU dan generasi FELDA, serta mentransformasi petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil. – HARAKAHDAILY 6/11/2022

- Advertisement -