Integriti: Standard BN, PH lebih rendah daripada PN

- Advertisement -

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mungkin mempunyai standard atau benchmark (tanda aras) yang lebih rendah daripada Perikatan Nasional dalam isu integriti.

- Advertisement -

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dinilai melalui pencalonan individu yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah atas kesalahan jenayah rasuah.

“Orang yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah atas kesalahan jenayah rasuah pun dibenarkan bertanding dalam pilihan raya. Tetapi tidak mengapalah. Itu masalah mereka, bukan masalah kita.

“Saya yakin rakyat tahu menilai siapa yang lebih komited dan rela berkorban semata-mata untuk memastikan negara kita bebas rasuah dan terselamat daripada cengkaman kleptokrat,” katanya.

Menurut calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Pagoh itu, PERIKATAN NASIONAL memandang berat isu integriti.

Disebabkan itu katanya, semua calon PERIKATAN NASIONAL bukan sahaja membuat akujanji anti rasuah, tetapi mereka juga menjalani tapisan yang ketat.

“Jika mereka didapati ada kes jenayah, sedang disiasat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah atas kesalahan rasuah, mereka tidak dibenarkan bertanding.

“Ini standard atau benchmark yang ditetapkan oleh PERIKATAN NASIONAL,” katanya.

Calon Perdana Menteri PERIKATAN NASIONAL itu turut memberi komitmen untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah.

Katanya, PERIKATAN NASIONAL akan terus mempertahankan prinsip dan amalan pemisahan kuasa yang jelas bagi tiga cabang kuasa negara iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif.

“Kita juga akan melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung kedaulatan undang-undang tanpa campur tangan politik selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara.

“Sebagai menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, sistem perundangan dan kehakiman syariah akan turut diperkasakan.

Justeru katanya, jika PERIKATAN NASIONAL diberi mandat oleh rakyat pada 19 November ini, PERIKATAN NASIONAL akan terus melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional.

Selain itu, mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah dan menggubal akta atau peraturan berkaitan pendanaan politik bagi memperkasakan usaha memerangi rasuah di negara ini, katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2022

- Advertisement -