Calon ‘boleh menang’ sertai PN, tunggu Sabtu ini

- Advertisement -

ALOR SETAR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak menolak kemungkinan calon ‘boleh menang’ daripada Barisan Nasional (BN) akan menyertai PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

- Advertisement -

Menurutnya, politik bersifat dinamik dan pihaknya sentiasa mengalu-alukan sokongan daripada sebarang pihak yang mahu menyokong PERIKATAN NASIONAL.

Bagaimanapun katanya, ketentuan mengenai calon berkenaan bertanding di bawah tiket PERIKATAN NASIONAL atau tidak hanya dapat ditentukan pada hari penamaan calon, Sabtu ini.

“Politik itu bersifat dinamik, kita mengalu-alukan semua, calon yang boleh menang, dan dia (politik) boleh berubah sepanjang masa, jadi ketentuannya ialah hari penamaan calon,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Program Pengisytiharan Bakal Calon PERIKATAN NASIONAL Kedah, di Kompleks PAS Kedah, di sini, malam tadi. Turut serta ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Ahmad Yahaya dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor.

Bagaimanapun kata Tuan Guru Abdul Hadi, tiada sebarang maklumat rasmi diterima mengenai pencalonan nama besar di dalam BN itu untuk menyertai PERIKATAN NASIONAL, hanya maklumat melalui berita sahaja.

Terdahulu semasa berucap pada majlis sama, kata Tuan Guru, setelah PERIKATAN NASIONAL mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH), terdapat segelintir pemimpin Umno yang memujuk PAS untuk meninggalkan Bersatu.

Ketika itu katanya, PAS menasihati Umno untuk tidak bertindak demikian kerana situasi itu tidak akan membentuk majoriti di dalam Parlimen.

Bagaimanapun kata Tuan Guru Abdul Hadi, Umno tetap dengan pendiriannya.

Lebih mendukacitakan katanya, gesaan itu dibuat demi melepaskan diri daripada kes mahkamah yang terpalit dengan pemimpin Umno.

“Kita hendak selamatkan rakyat, dia hendak lepaskan diri, namun terdapat kalangan Umno yang tidak setuju, mereka dicantas, tiada nama dalam calon yang dipilih, banyak di seluruh negara, dibuang nama-nama ini, insya-Allah mereka bersama dengan kita.

“Kita tidak memilih PH kerana gelap, tidak memilih BN kerana keruh, ada kekeruhan, kita bersama PERIKATAN NASIONAL kerana ada kejernihan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Perlis, Mohd Shukri Ramli mengesahkan kerusi Parlimen Arau dikosongkan untuk memberi laluan kepada Shahidan Kassim bertanding mewakili parti itu pada PRU15.

Katanya, tindakan itu berlaku pada saat akhir disebabkan rundingan belum dimuktamadkan di peringkat gabungan PERIKATAN NASIONAL dan PAS Pusat bersama Shahidan.

Sebelum ini, Shahidan mengesahkan tetap mahu bertanding di kerusi Parlimen Arau walaupun perlu menggunakan tiket parti lain selepas namanya digugurkan sebagai calon BN dan digantikan dengan bekas Naib Ketua Umno Arau, Rozabil Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 3/11/2022

- Advertisement -