Ada komplot kecilkan kemenangan BN, tetapi besarkan PH

- Advertisement -

ALOR SETAR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa wujud dalam kalangan Umno yang sedang bertindak mengecilkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, langkah pihak tersebut berbuat demikian bertujuan untuk membesarkan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) bagi memaksa BN bergabung bersama PH selepas daripada PRU15 nanti.

Jelasnya, dari maklumat diperolehi beliau, kerjasama itu sebagai satu strategi kalangan tertentu di dalam Umno untuk bersama PH bagi membebaskan diri daripada isu pertuduhan kes yang sedang dihadapi.

Tuan Guru mendedahkan perancangan sulit pihak di dalam Umno itu ketika sidang media selepas majlis Pengisytiharan Bakal Calon PERIKATAN NASIONAL Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, di sini sebentar tadi.

“Ramai kalangan Umno yang tak bersetuju dengan PH. Dengan sebab itu dibuat janji supaya mendukung pemimpin yang nak bergabung dengan PH ini. Dengan tujuan untuk membebaskan diri, bukan untuk menyelamatkan rakyat.

“Sehingga hari ini, mereka gagal menarik Umno ke dalam Khemah Besar nak gulingkan Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN), gagal. Guling Kerajaan Perak, tak boleh tubuh Kerajaan (BN-PH), itu. Itu tanda aras yang boleh dibaca dengan jelas,” ujarnya menegaskan PAS tidak akan bersama PH.

Beritahunya, PN menawarkan untuk menegakkan kerajaan yang bertemakan bersih dan stabil atau singkatannya ‘BEST’ sebagaimana telah dibuktikan semasa pemerintahan sebelum daripada ini.

Terang beliau, pemerintahan tersebut telah berjaya mewujudkan kestabilan termasuk di negeri-negeri yang diperintah dan PN tetap mengalu-alukan sebarang pihak untuk menyokong dan bersama gabungan itu.

Akui beliau yang kekal bertanding di Parlimen Marang, PERIKATAN NASIONAL berkeyakinan tinggi di mana kemenangan dalam PRU15 ini adalah tidak mustahil, namun menyedari ia tidak mudah, selain sangat mencabar.

Beliau turut menjawab pertanyaan media mengenai calon bukan-Islam yang menunjukkan realiti negara ini bermasyarakat majmuk, selain menegaskan PAS mengambil pendekatan tidak menyerang Umno.

Berkenaan ura-ura tokoh-tokoh tertentu akan menyertai PN dan bertanding atas tiket gabungan itu, beliau meminta ditunggu sehingga penamaan calon dan menyifatkan politik sebagai dinamik.- HARAKAHDAILY 3/11/2022

- Advertisement -