PRU15 di musim tengkujuh bakal cetus hura-hara

Musim tengkujuh tahun lepas turut menyaksikan banjir teruk yang menenggelamkan kediaman penduduk di Kampung Batu, Temerloh, Pahang pada 21 Disember 2021.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembubaran Parlimen jika berlaku dalam masa terdekat sehingga menyebabkan Pilihan Raya Umum (PRU15) terpaksa diadakan dalam tempoh musim tengkujuh dari November 2022 sehingga Januari 2023, dikhuatiri bakal mencetuskan huru-hara di negara ini.

Pilihan raya dalam tempoh tersebut tidak digalakkan kerana ia dibimbangi akan menganggu kerja-kerja bantuan  kebajikan badan bukan kerajan (NGO) sepanjang tempoh itu berikutan musim Monsun Timur Laut yang dijangka akan menyebabkan banjir di beberapa negeri.

Pengerusi NGO kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya tidak menyokong PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini kerana mengetahui situasi banjir yang memerlukan tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat mangsa banjir.

“Kita tahu kesengsaraan rakyat Malaysia apabila berlaku banjir, mereka bergadai nyawa untuk menyelamatkan ahli keluarga mereka dan harta benda.

Zulkifli Wahijan

“Justeru, mereka tidak boleh fokus untuk pilihan raya ini (PRU15), apatah lagi apabila banjir besar berlaku. Biasanya pusat-pusat pemindahan banjir menggunakan dewan-dewan dan sekolah-sekolah. 

“Oleh itu, apabila dewan dan sekolah digunakan untuk PRU15, bagaimana pula dengan pusat pemindahan banjir pula? Jadi, akan berlaku huru-hara,” katanya kepada HarakahDaily.

Menurut Zulkifli lagi, keselamatan rakyat di negara ini perlu diutamakan, dan  begitu juga dengan harta benda mereka.

Justeru, beliau berharap agar pemimpin politik di negara ini dapat menimbang tara situasi ini secara rasional, bukan semata-mata kerana kepentingan individu tertentu.

“Jika kerajaan membuat persiapan banjir dengan baik dan tidak menumpukan perhatian ke arah itu, kita bimbang akan berlaku malapetaka yang lebih buruk kepada rakyat.

“Bahkan, ramalan kaji cuaca juga mengeluarkan amaran musim tengkujuh, begitu juga yang berlaku di negara lain (yang sebahagian besaranya angkara pemanasan global yang menyebabkan hujan lebat melanda secara mendadak sehingga menjadi bencana di luar kawalan).

Banjir pada musim tengkujuh yang telah melanda beberapa buah negeri di Malaysia pada tahun 2021 menyebabkan kerugian terkumpul mencecah RM1.6 bilion dan sekurang-kurangnya 48 nyawa terkorban.

“Lihat bagaimana negara jiran juga menghadapi banjir besar, contohnya di Pakistan hampir 1,500 orang telah terkorban,” katanya.

Menurutnya, situasi yang dihadapi di sebahagian negara sewajarnya dijadikan iktibar untuk negara membuat persiapan dan bersiap siaga menghadapi banjir, bukannya menumpukan perhatian kepada perkara lain.

“Apatah lagi jika perkara lain itu boleh ditangguhkan pada tempoh akan datang, tidak seperti banjir yang berada di luar kuasa manusia untuk menangguhnya,” ujarnya. 

Anggota Muslim Care Malaysia Society mengagihkan sumbangan kepada penduduk Orang Asli di Bukit Changgang, Banting, Selangor yang terputus akses dengan kawasan luar susulan banjir besar. (FOTO: Instagram Muslim Care Mazlaysia Society)

Sementara itu kata Zulkifli, Muslim Care Malaysia kini sedang menyiapkan sukarelawannya untuk bersedia menghulurkan bantuan bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka akan menyebabkan banjir di beberapa negeri di Malaysia.

“Menjelang November 2022 hingga Januari tahun depan, Muslim Care kini sedang bersedia untuk menghadapi musim banjir.

“Kita akan menumpu dan mengumpulkan semua sukarelawan untuk menghadapi banjir, bukan perkara lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2022

- Advertisement -