Bakal serah kuasa bekal elektrik kepada Kerajaan Sabah

Pinda perundangan tenaga boleh baharu

- Advertisement -

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah membentangkan Rang Undang- undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022 semasa Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas pada hari ini. Rang Undang-undang (RUU) tersebut telah dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Pembentangan kedua-dua RUU tersebut bertujuan untuk meminda Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 [Akta 725] dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 [Akta 726], bagi memasukkan peruntukan baharu berkaitan penggantungan pemakaian kedua-dua Akta bagi membolehkan proses penyerahan kuasa untuk pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah dilaksanakan dengan teratur tanpa menimbulkan implikasi perundangan kelak.

Secara prinsipnya, penyerahan kuasa pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah memerlukan akta-akta berkaitan pembekalan elektrik dan kawal selia digantung pemakaiannya di negeri Sabah melalui suatu perintah oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 95C, Perlembagaan Persekutuan iaitu Kuasa Untuk Memperluas Kuasa Perundangan atau Eksekutif Negeri Melalui Perintah. Perintah 95C akan memberikan kuasa kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk mewujudkan perundangan sendiri bagi pembekalan elektrik di negeri tersebut.

Akta 725 dan Akta 726 sedia ada tidak mengandungi peruntukan yang membolehkan pemakaian akta ini digantung di mana-mana bahagian di Malaysia seperti akta-akta lain yang berkaitan pembekalan dan kawal selia pembekalan elektrik, seperti Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dan Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 [Akta 610].

Justeru, peruntukan undang-undang bagi membolehkan penggantungan pemakaian kedua-dua akta ini perlu disediakan terlebih dahulu supaya proses penyerahan kuasa untuk pembekalan elektrik termasuk aspek kawal selia perancangan dan pembangunan Tenaga Boleh Baharu (TBB) dapat dilakukan, dan Kerajaan Negeri Sabah akan mempunyai kuasa autonomi dalam menetapkan dasar dan hala tuju pembangunan TBB di Negeri Sabah.

Saya yakin Rang Undang-undang ini akan dapat memantapkan lagi tadbir urus Akta 725 dan Akta 726 serta memastikan proses penyerahan kuasa pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah dapat dilakukan dengan lancar dan teratur.

YB DATUK SERI TAKIYUDDIN HASSAN 
Menteri Tenaga dan Sumber Asli – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -