Batal konsert di Kedah, Pemuda Kelantan rakam tahniah

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH. Responsif dan berani. Inilah barangkali perkataan yang sesuai diberikan kepada Kerajaan Negeri Kedah atas pengharaman konsert yang ditularkan muda-mudi terkinja-kinja sebagaimana dimaklumkan oleh Menteri Besarnya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan melihat perkara ini selari dengan enakmen dan garis panduan hiburan sedia ada di Kelantan. Saya optimis akan ada sinar hiburan yang terkawal setelah rakyat dididik dengan pendidikan hiburan oleh kerajaan. 

Pastinya hari ini, kita percaya sesuatu perlu dilakukan secara bersama melalui kawalan enakmen hiburan seluruh negeri dan paling penting hari ini bagaimana model hiburan yang dibenarkan mengikut kawalan dapat dipersembahkan. Ia boleh jadi serampang dua mata iaitu menunjukkan kreativiti kerajaan dalam menyediakan hiburan terpandu untuk rakyat dan pada masa yang sama meraikan tatasusila adat dan budaya.

Untuk itu, saya gambarkan akan ada satu meja bulat dibuka untuk perbincangan antara pemuda parti terutama melibatkan Kedah dan Terengganu bagi mencadangkan suatu kaedah sesuai dalam seni dan hiburan terkawal untuk rakyat terutama muda mudi. Lebih besar lagi adalah bagaimana model yang baik selari adat dan budaya ini boleh dimainkan di peringkat Persekutuan, sebagai sebuah kerajaan memerintah.

Saya panjangkan gagasan idea bersama atas nama Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan untuk diperhalusi parti dan kerajaan sewajarnya.

Salam hormat.

USTAZ MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -