Labour di hadapan tanpa berbuat apa-apa

- Advertisement -

SATU tinjauan pandangan (poll) di UK oleh YouGov pada 29 September lepas menunjukkan Parti Buruh (Labour) mendahului Parti Konservatif (Conservative) yang merupakan parti pemerintah dengan 33 mata. Tinjauan tersebut adalah ke atas 1,700 orang dewasa yang ditanya kecenderungan untuk mengundi mereka. Ini bermakna siapa yang mereka akan mengundi jika pilihan raya diadakan esok. Seramai 54 peratus berkata akan mengundi Labour dan hanya 21 peratus akan mengundi Conservative. 

Berdasarkan tinjauan YourGov, Labour akan mendapat 498 kerusi Parlimen, pertambahan sebanyak 296 kerusi dan Conservative hanya tinggal 61 kerusi. Walaupun andaian ini kelihatan keterlaluan namun begitu Conservative telah ketinggalan jauh berbanding dengan sebelum Boris Johnson meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Malah tinjauan-tinjauan yang lain meletakkan Labour jauh di hadapan. Survation meletakkan Labour 21 mata di hadapan sementara Deltapoll meletakkan mereka 19 mata di hadapan. Redfield & Wilton Strategies pula meletakkan Labour 17 mata di hadapan. Bandingkan tinjauan YouGov pada 29 September tahun lepas di mana Conservative menerima 39 peratus dan Labour 31 peratus.

Hanya sebulan selepas mengambil alih dari Johnson, Perdana Menteri baharu Liz Trus, berhadapan dengan masalah paling serius yang pernah di hadapi oleh Conservative sejak ‘Black Monday’ dalam tahun 1993. Akhirnya parti itu telah dikalahkan oleh New Labour pada pilihan raya 1997. Walaupun ketua Labour hari ini, Keir Starmer, tidak memiliki aura pemimpin-pemimpin New Labour seperti Tony Blair dan Gordon Brown namun Conservative hari ini merupakan parti yang berpecah.

Truss telah menjadi Perdana Menteri pada 6 September dan Ratu England, Elizabeth II, telah mangkat pada 8 September. Berikutan kemangkatan tersebut, 10 hari tempoh berkabung telah diisytiharkan. Tempoh berkabung itu merupakan tempoh yang paling tenang bagi Truss kerana selepas itu keadaan menjadi haru-biru (all hell broke lose). Tidak ada ‘honeymoon period’ bagi Truss dan dia telah terus tergelincir ke dalam kawah yang mendidih.

Masalah bermula selepas Menteri Kewangan (Chancellor of Exchequer), Kwasi Kwarteng, membentangkan belanjawan mini (mini budget) pada 23 September. Berikutan pembentangan tersebut, mata wang UK, ‘pound’, telah mengalami kejatuhan ke tahap yang paling rendah dalam sejarah apabila pasaran bertindak balas terhadap penurunan kadar cukai yang terbesar dalam 50 tahun. Matawang tersebut telah mengalami penyusutan sebanyak 4.7 peratus pada 26 September. 

Kerajaan dikatakan telah hilang kawalan ke atas ekonomi sehingga bank pusat (Bank of England) terpaksa masuk campur untuk memastikan kestabilan kewangan. Kerajaan juga telah mengambil keputusan untuk membiayai potongan kadar cukai untuk mereka yang berpendapat tinggi melalui pinjaman dan pasaran tidak menyambut baik rancangan ini. Labour telah menuduh kerajaan merompak yang miskin untuk memberi kepada yang kaya. International Monetary Fund (IMF) memberi amaran ‘mini budget’ ini berkemungkinan meningkatkan ketidaksamaan (inequality). Sebelum pembentangan lagi, rakyat telah mula merasa bimbang terhadap kos bahan api yang meningkat. Kos ini penting kerana rumah-rumah mereka perlu dipanaskan apabila tiba musim sejuk.

Masalah dihadapi oleh Conservative hari ini adalah akibat tindakan-tindakan mereka sendiri di samping ‘perang saudara’ yang berlaku di dalam parti itu. Sejak kehilangan kerajaan pada Pilihan Raya Umum 2010, mereka tercari-cari tokoh yang boleh memimpin mereka kembali menjadi kerajaan. Setelah Perdana Menteri Gordon Brown hilang kuasa, Labour telah dipimpin oleh Ed Miliband, Jeremy Corbyn dan hari ini oleh Starmer. Walau bagaimanapun, sejak 2010 parti itu telah kalah 3 Pilihan Raya Umum berturut-turut iaitu dalam tahun 2015, 2017 dan 2019.

Tetapi hari ini mereka mendahului Conservative di dalam tinjauan pendapat bukan kerana kehebatan atau imej mereka seperti New Labour dalam tahun 1997 tetapi oleh kerana kelemahan dan masalah parti kerajaan hari ini. Untuk 12 tahun ahli-ahli parti menunggu siapakah pemimpin yang boleh membawa mereka keluar dari ‘belantara pembangkang’ dan pemimpin itu bukan Miliband, Corbyn atau Starmer tetapi Truss. Jika Labour menang pada Pilihan Raya Umum yang akan (perlu diadakan sebelum 2024), mereka perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri Truss. Begitulah politik, kemenangan bukan boleh tercapai hanya hasil dari kekuatan sesuatu parti tetapi juga kelemahan parti lawan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
4 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -