PAS Perak konsisten menyeru perpaduan

PAS Perak menyedari cabaran besar dalam PRU15 adalah Penyatuan Ummah. Berdasarkan kedudukan komposisi kaum yang hampir seimbang, PAS Perak mesti berperanan untuk mengimbangi kuasa Melayu Islam memimpin Perak.

Sejak merdeka hingga kini, terbukti penguasaan Melayu Islam dapat meredakan isu perkauman. Sejarah pahit peristiwa 13 Mei adalah kesan dari lemahnya kuasa politik Melayu islam. Rakyat Perak mempunyai pengalaman merasai suhu politik yang agak panas kesan penguasaan politik dominasi bukan-Melayu Islam.

Di atas keyakinan kuasa politik mesti dikuasai kaum yang dominan, maka PAS Perak akan meneruskan usaha menyatukan parti Melayu yang menjadi teras politik Perak bersama bukan-Melayu yang tidak ekstrem. 

Biarpun menyedari usaha ini agak sukar, namun PAS Perak meyakini ianya adalah aspirasi dan keinginan pengundi di Perak khasnya kaum Melayu Islam.

PAS Perak telah memuktamadkan beberapa perkara asas bersama kompenan Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15. Keutamaan PAS Perak ialah menghalang penguasaan PH dominasi DAP. Sikap PAS ini konsisten sejak PRU14.

Perak mempunyai beberapa kerusi yang memerlukan kerjasama politik dan toleransi antara PN dan BN jika serius ingin menghalang PH. PAS Perak sentiasa berusaha untuk menjadi penghubung antara PN dan BN agar satu persefahaman toleransi khususnya di tujuh kerusi DUN . Jika BN juga bermatlamat menghalang penguasaan PH dan DAP dalam PRU 15, maka mereka perlu berlapang dada demi kepentingan rakyat dan ummah.

PAS Perak sekali lagi menegaskan akan meneruskan usaha Penyatuan Ummah bagi menyelamatkan Perak dari penguasaan PH dan DAP. Sekalipun sukar, harapan toleransi dan kerjasama politik sebagai strategi menyekat kemudharatan PH dominasi DAP mesti diusahakan semaksima mungkin. PAS Perak berharap agar pengundi Perak yang cintakan kestabilan politik dan kaum bersama PAS dalam usaha yang besar dan penting ini.

“Malaysia Sejahtera”

YB RAZMAN ZAKARIA 
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
29 September 2022 – HARAKAHDAILY 29/9/2022

Advertisement