PAS kekal yakin dengan agenda Penyatuan Ummah

- Advertisement -

AGENDA Penyatuan Ummah dan perpaduan nasional kekal menjadi agenda utama PAS. PAS mahu melihat umat Melayu Islam bersatu, khasnya melalui kesatuan kuasa politik Melayu Islam yang kelak dapat menjamin kepimpinan tertinggi negara kekal di tangan kaum majoriti. Apabila ini berlaku kestabilan politik akan tercapai, dan keadilan dapat ditegakkan buat semua.

Oleh itu usaha untuk menyatukan kuasa politik Melayu Islam ini akan terus menjadi keutamaan PAS demi memastikan kepimpinan negara tidak terlepas di tangan pihak lain.

PAS juga optimis untuk membina perpaduan nasional setelah Penyatuan Ummah tadi menjadi realiti. Perpaduan nasional ini mengambil kira penglibatan parti-parti politik bukan Melayu atau Islam yang tidak ekstrem dan boleh menerima kepimpinan dari kaum majoriti.

Dalam suasana politik semasa, ternyata agenda besar ini tidak mudah, namun oleh kerana kerja menyatupadukan ummah ini merupakan perintah Allah S.W.T maka sebagai sebuah gerakan Islam PAS memikul tanggungjawab untuk menjadi penggerak utama agar nasib dan masa depan ummah terbela dan terpelihara.

Dalam memupuk agenda Penyatuan Ummah ini PAS perlu mengambil pendekatan damai, menzahirkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, agar rakan-rakan ta’awun dapat dilunakkan dan bersama menginsafi bahawa agenda ini adalah agenda bersama. Kegagalannya hanya akan mengakibatkan berulangnya peristiwa malang kemenangan PH dalam PRU ke-14 dahulu, apabila tonggak negara didominasi oleh DAP.

Kenyataan media PAS yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini mencerminkan kesungguhan dan keikhlasan PAS dalam berusaha mencapai agenda ini lebih-lebih lagi apabila PRU15 dijangka diadakan bila-bila masa. 

Melalui kenyataan itu PAS menegaskan bahawa ia kekal menjalin hubungan dengan Umno, sebagai rakan ta’awun dan tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian mana-mana pihak yang menganggap Barisan Nasional sebagai musuh dalam PRU ke-15 nanti.

Juga ditegaskan bahawa musuh sebenar PAS dan agenda Penyatuan Ummah ini adalah Pakatan Harapan dan sekutu-sekutunya termasuklah apa yang dikatakan sebagai ‘Khemah Besar’ iaitu gabungan menyatukan parti-parti pembangkang bagi menghadapi BN.

Selain itu kenyataan yang sama turut menyatakan keyakinan PAS bahawa kiranya perpaduan dan kerjasama politik ini tercapai, PH akan ditentang satu lawan satu dalam PRU ke-15 nanti yang sudah pasti akan mengancam survival PH terutama komponennya dari PKR dan PAN.

Sesungguhnya kesilapan besar dalam PRU ke-14 lalu adalah apabila masing-masing enggan bersatu, dan sebaliknya bertarung sesama sendiri mengakibatkan terbelah tiga undi Melayu dengan PH meraih laba terbesar apabila memiliki ‘advantage’ sokongan padu para pengundi bukan-Melayu yang mencecah lebih 90 peratus.

Kiranya berlaku lagi pertandingan seumpama ini, tidak syak lagi, keputusan yang sama akan berulang, justeru pentingnya agenda Penyatuan Ummah ini diangkat oleh semua pihak yang berkepentingan.

Mampukah agenda ini menjadi realiti dengan masing-masing mendukung dan mempertahankan kerajaan Keluarga Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri kita bersama?

Kerajaan inilah yang mahu disasar dan dirobohkan oleh Pakatan Harapan, dan mereka melihat peluang yang cerah kiranya berulang senario PRU14.

Oleh yang demikian inilah masanya untuk memurnikan keadaan, atas semangat ukhuwah dan persaudaraan Melayu Islam, kembalilah semua pihak menghulurkan tangan persahabatan, ketepikan perbezaan dan pertikaian yang lampau, nasib dan masa depan ummah lebih penting dan utama.

Zulkifli Jalil di dalam rencananya di Utusan Malaysia mencadangkan gencatan senjata antara dua parti Melayu Islam terbesar iaitu Umno dan PAS. 

Beliau menulis: koyak-koyak ditampal, retak-retak dikimpal. Tambah beliau: “Politik Malaysia masih dan terus dijangkiti politik kuasa, pengkhianatan dan perpecahan. Memang setakat ini tidak ada usaha waima daripada mana-mana pihak mahu menyatukan semua parti Melayu. Rakyat boleh tengok semua pemimpin kita hendak menjuarakan hanya partinya.”

Bagi saya kenyataan media PAS ini merupakan usaha positif ke arah itu. Malah sebaik sahaja ia dikeluarkan angin perdamaian mula terasa. Ianya secara tidak langsung mengajak semua pihak ke meja perundingan, cukuplah kita bersengketa, berdamailah dan hentikan serangan sesama sendiri kerana umat Melayu Islam di luar menunggu-nunggu agenda ini menjadi realiti.

Rakyat sudah serik dan tidak mahu lagi negara dikuasai oleh mereka yang punya agenda peribadi yang rasis dan ekstrem. Rakyat tidak mahu kepimpinan negara didominasi oleh parti dan golongan seumpama ini yang telah mereka rasai selama 22 bulan di bawah PH.

Rakyat mahukan negara yang stabil, yang mampu merancakkan ekonomi dan membawa kemakmuran buat semua. Rakyat khususnya umat Melayu Islam mahukan kepimpinan yang bersih, berintegriti, bertaqwa dan mampu memimpin mereka ke arah kesejahteraan dunia hingga ke akhirat.

Justeru kepimpinan Islam yang cemerlang perlu dilahirkan melalui agenda Penyatuan Ummah ini demi memenuhi harapan rakyat yang besar itu. 

Inilah perkara yang ditegaskan oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu program parti di Padang Rengas baru-baru ini.

Dalam mendukungi agenda Penyatuan Ummah ini, kata beliau, kita perlu mengambil pendekatan yang damai, merendahkan diri sebagaimana firman Allah S.W.T maksudnya: 

- Advertisement -

“…dan bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman, tetapi menunjukkan kehebatan terhadap musuh.” 

(al Maidah 54)

Tambah Tuan Guru kita perlu bersatu dan meraih kemenangan dengan penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen. Dengan kemenangan ini kita dapat membuat pindaan pada Perlembagaan Persekutuan agar konsisten dengan kehendak Islam selain menyelesaikan banyak perkara terutama yang berhubung kait dengan kebajikan dan kepentingan umat Islam yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.

Demikianlah pentingnya agenda Penyatuan Ummah ini. Ia wajar diberi keutamaan dan perhatian oleh semua pihak yang berkepentingan.

Bersama kita memastikan negara berdaulat ini kekal berdaulat di tangan mereka yang berhak, stabil serta aman dan makmur bernaung di bawah agenda besar Penyatuan Ummah.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 29/9/2022

- Advertisement -