Bekas pelajar bunuh 17 nyawa di sekolah Rusia

Foto dari klip video yang diedarkan oleh Investigative Committee of Russia pada hari ini, 26 September 2022 menunjukkan mayat suspek yang menyerang sekolah di Izhevsk, Rusia menyebabkan 17 maut. (FOTO: Investigative Committee of Russians/AFP).
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

- Advertisement -

MOSCOW: Seorang lelaki bersenjata menembak mati sekurang-kurangnya 17 orang di sebuah sekolah di bandar Izhevsk, Rusia, dengan 11 daripada mangsa merupakan murid sekolah yang mempunyai kira-kira 1,000 pelajar dan 80 orang guru itu.

Kementerian dalam negeri Rusia dalam satu kenyataan di Telegram pada Isnin (26 Sept) berkata bahawa cawangan kementerian dalam negeri Udmurtia melaporkan tentang seorang lelaki bersenjata dengan dua pistol yang merupakan bekas pelajar sekolah itu telah membunuh diri dan 24 yang lain pula mengalami kecederaan – 22 daripadanya murid sekolah berkenaan, lapor Reuters.

Agensi berita RIA memetik Gabenor Alexander Brechalov dari wilayah Udmurt, yang mana Izhevsk adalah ibu kotanya, sebagai berkata bahawa seorang lelaki dikenali sebagai Artyom Kazantsev, 34, telah menyerang sekolah berkenaan dan membunuh seorang pengawal keselamatan.

Sekurang-kurangnya 13 terbunuh dalam serangan di sekolah di Izhevsjk, Rusia pada 26 September 2022. (FOTO: New York Times)

“Terdapat mangsa yang maut dan cedera dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan,” ujar kenyataan itu.

Terkini, BBC melaporkan tidak diketahui motif serangan yang menyebabkan 11 murid sekolah dan enam dewasa termasuk dua pengawal keselamatan dan dua guru sekolah terbabit maut.

Sementara, media Rusia menyiarkan klip video yang menunjukkan bilik darjah sekolah No. 88 yang terletak di barat Ural Mountains dalam wilayah Udmurt itu dipenuhi darah mangsa dengan kesan tembakan peluru di tingkap.

Video yang disiarkan juga menunjukkan mayat suspek yang belum dikenalpasti identitinya memakai baju-T dengan logo Nazi terbaring kaku di lantai sekolah itu.

Pihak berkuasa mengawal keadaan dengan beberapa pelajar berlari menyelamatkan diri dari Sekolah No88 di Izhevsk, Rusia pada 26 September 2022 yang menjadi lokasi sekolah terbaharu diserang penyerang bersenjata. (FOTO: DW)

Sekolah terbabit terletak berhampiran bangunan kerajaan dengan lokasinya di bahagian tengah bandar Izhevsk yang mempunyai populasi kira-kira 650,000 penduduk.

Serangan terhadap sekolah di Rusia ini bukan kali pertama, kerana negara ini mencatat rekod serangan maut di sekolah paling tragis di dunia pada 1 Sept 2004, apabila sekolah dikenali sebagai School Nombor One (SNO) di bandar Beslan, Ossetia Utara (sebuah republik autonomi di wilayah Caucasus Utara Rusia) ditawan sekumpulan pengganas Chechnya selama tiga hari.

Ia membabitkan 1,100 tebusan (termasuk 777 murid sekolah), yang berakhir dengan 333 kematian, termasuk 189 murid sekolah berkenaan.

Sementara pada 11 Mei 2021, sembilan kanak-kanak terbunuh dan 16 yang lain cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah sekolah di bandar Kazan, Rusia. – HARAKAHDAILY 26/9/2022

- Advertisement -