Presiden bidas tuduhan fitnah PAS terima RM90 juta dari Umno

PADANG RENGAS: Ketika Barisan Nasional (BN) kecundang dalam PRU14 lalu, PAS sebaliknya kekal di Kelantan dan menang menjadi kerajaan di Terengganu, sebelum dapat menguasai Kedah di mana semua biaya adalah dari wang sendiri. 

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, sumber kewangan PAS adalah daripada poket ahli-ahli parti itu sendiri yang digerakkan menerusi derma dan bukannya pemberian RM90 juta wang Umno seperti dituduhkan. 

“Umno bodoh nak bagi kita (PAS) RM90 juta, mampus dia. Kalau PAS ada RM90 juta, ranap (dikalahkan) Umno termasuklah PH (Pakatan Harapan) pun ranap kalau (PAS) ada RM90 juta. Dengan RM10 juta (sudah memadai) kita boleh bergerak. 

“Diuar-uarkan difitnahkan (PAS terima RM90 juta). Orang-orang Pantai Barat terpengaruh, tak undi PAS. Pantai Timur, Utara tak terpengaruh, mereka tahu orang PAS ni miskin. Belanja duit sendiri. 

“Lepas pilihan raya dah kumpul duit untuk pilihan raya akan datang. Ada orang PAS yang banyak tanah dia jual tanah untuk bayar deposit calon. Dia tak jadi calon, orang lain jadi calon. Ni pengorbanan orang PAS.  

“Di mana kalangan PKR (dan parti) lain-lain tahu bila kita kerjasama, orang PAS banyak belanja, dia tak banyak (keluarkan) belanja. Lepas pilihan raya (mereka) lari! Orang PAS bayar hutang. Ada tempat-tempat itu orang PAS kena bayar hutang.  

“Saya tak mahu sebutlah tempat itu mana-mana. Ini perangai (mereka). Tiba-tiba dia kata kita dapat RM90 juta Umno bagi. Ini satu fitnah. SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dah siasat, tak ada bukti.  

“Saya beritahu pada SPRM, siasat negeri yang PAS memerintah. Terengganu, Kelantan, Kedah kita buka 24 jam. Pergi siasat. Menteri Besar kita, Exco kita yang rasuah, sila tangkap, sila ambil. Kita nak buang kalau ada yang macam ini, kita tak pertahan. 

“Dalam PAS ada disiplin, yang buat maksiat buat salah dipecat daripada PAS. Parti lain tak ada disiplin. Kita beza dengan parti lain. Kita parti akidah. Buat silap dipecat daripada parti. Masalah akhlak, masalah moral.  

“Parti lain tak peduli masalah-masalah ini. Malangnya orang tak tahu orang tak faham perjuangan PAS,” jelas beliau panjang lebar pada Karnival PAS Pilihanku 4.0 peringkat negeri Perak di Dewan Millenium, Lubuk Merbau, di sini kelmarin dahulu. 

Tambah beliau, PAS memilih berjihad bertembung dan melawan musuh secara damai dan bukannya kekerasan yakni menerusi demokrasi pilihan raya, pun begitu meletakkan ianya sebagai fardu ain kerana Islam dalam bahaya. 


Tuan Guru juga mengimbau pengajaran kebangkitan Arab Spring di mana berlaku keadaan bangsa Arab bertembung dan berperang satu sama lain, sedangkan musuh Islam antaranya Badan Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat dibelakang mereka. 

Jelas beliau, perang tersebut menjadikan sebahagian pihak sebagai wakil atau proksi pihak lain dengan senjata dibeli daripada Barat yang meraih wang, namun umat Islam berbunuhan sesama sendiri. 

“Kita tak mahu (ini terjadi dan berulang). Dengan sebab itu PAS keluar daripada BERSIH (dahulu walaupun) BERSIH1, BERSIH2 kita ikut. Bila sampai BERSIH3 rupanya tak bersih. Turun-turun demonstrasi berlawan dengan polis.  

“Polis orang kita juga, anak-beranak kita. Berasak sama sendiri. Apa lagi kita tengok-tengok rupanya lari puak-puak ni. Ini, kita tarik diri. Tak jadi. Kita jangan jadi tukang kumpul orang, bergaduh sama sendiri. Kita pilih pendekatan damai. Bukan perang macam negeri Arab.  

“Saya menegaskan pada rakan-rakan Arab dalam persidangan antarabangsa. Saya selalu hadir. Antaranya persidangan Ahli-ahli Parlimen Islam. Saya tegaskan pendekatan dalam negeri orang Islam sendiri mesti pendekatan Muwajahah Silmiyyah, berdepan cara damai, bukan cara perang. 

“Kalau kita pilih negeri kita sendiri cara perang kita berlawan sama sendiri. Kita diguna oleh orang, elak ini. Dengan sebab itulah PAS memilih agenda Perpaduan Ummah mengajak orang Melayu Islam bersatu, jangan berlawan sama sendiri dalam pilihan raya.

“Jatuhkan parti yang terang-terang merosakkan kita, PH (Pakatan Harapan) itu. Lawan, jangan berpecah. Ini (masalahnya) masing-masing nak berpecah,” ujar beliau mengharap perkara tersebut dimengertikan oleh Umno dan BERSATU. 

Beliau memberi contoh dengan membaca ayat Kursi antaranya untuk menghalau syaitan dan bukannya memanggil syaitan, walaubagaimanapun jika membaca ayat Kursi tetapi masih berebut kerusi, maka itu juga mengundang syaitan. 

Tuan Guru juga memetik seruan Allah SWT di dalam al-Quran yang menjelaskan ciri orang beriman adalah merendah diri kepada sesama Islam, tetapi menunjukkan kehebatan terhadap musuh. 

Mengundi adalah perjuangan

Turut dipetiknya adalah kisah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS mengajak Bani Israil masuk ke Palestin menentang kaum Jabbarin setelah diberi mukjizat oleh Allah menyelamatkan mereka dari Firaun dan bala tenteranya yang ditenggelamkan di laut. 

Malangnya cerita beliau dari kisah al-Quran itu, Bani Israil enggan berjuang di mana setelah Allah wafatkan kedua-dua Nabi itu, kaum tersebut telah disesatkan selama 40 tahun berpusing-pusing di tempat sama di Semenanjung Sinai. 

Sambung beliau, hanya setelah matinya generasi lama selepas 40 tahun itu, baharulah generasi muda dapat masuk semula ke Palestin mencapai kemenangan dengan dipimpin oleh Nabi Yusya’ bin Nun AS. 

Demikian itu beliau berharap anak-anak muda mengambil iktibar tersebut untuk bertanggungjawab keluar mengundi dan ambil tahu hal politik serta pemerintahan di mana sangat menentukan kedaulatan dan kekuasaan Islam.

Katanya, jika orang Melayu-Islam tidak menyedari atau menunaikan tanggungjawab tersebut, maka ia akan diraih oleh orang lain di mana tanpa usaha mempertahankan agama, maka umat akan terseksa. 
“Seksa ini bukan mesti bencana alam. Dengan berlaku inflasi harga barang naik, berlaku tipu sama sendiri. Banyaknya jenayah, berbagai penyakit. Ini diseksa oleh tuhan kerana kita meninggalkan perintah Dia. 
“Tunaikan tanggungjawab politik mengundi parti yang mempertahankan Islam, menegakkan Islam, bergabung bersatu, bersatu dengan ikhlas dengan izin Allah. Kita ditolong oleh Allah selamat dunia, selamat akhirat. 

“Balik (mengundi) pertahankan Islam. Tegakkan Islam, (maka) Melayu dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu tak ada Islam, orang Melayu pun tak selamat, kaum lain tak selamat. Yang selamatkan kita ialah Islam. 

“Tegakkan Islam dapat kelebihan dunia dan akhirat, bukan dunia saja,” serunya di hadapan ribuan yang hadir pada pelancaran gilang gemilang itu. – HARAKAHDAILY 26/9/2022

Advertisement