Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia kali ke-13

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH atas segalanya. Tahniah dan syabas kepada 498 orang Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) seluruh negara yang telah menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) Perguruan PASTI Malaysia. Guru-guru yang telah menyelesaikan siri Latihan Perguruan PASTI yang berlangsung selama 7 semester di Institut Latihan PASTI Malaysia (ILPM) ini menerima Diploma masing-masing sempena Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Kali Ke-13.

Rakaman Sidang Pertama: https://fb.watch/fKpTEoOcsA/ 

Rakaman Sidang Kedua: https://fb.watch/fKpVpqRGVW/ 

Majlis tersebut telah diadakan di Raia Inn, Pulau Pinang pada semalam dan hari ini 23-24 September 2022 = 27-28 Safar 1444H. Sidang Pertama malam tadi telah disempurnakan oleh YB Dato’ Nik Amar Nik Abdullah (Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan), manakala Sidang Kedua pagi tadi telah dirasmikan oleh Ustaz Hanafi Zulkapli (Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia).

Untuk rekod, di seluruh negara kini terdapat 2,540 buah PASTI dengan 9,539 orang Guru dan 125,065 orang Murid bagi sesi akademik 2022.

Saya hadir selaku Ketua Sektor Pendidikan DPPM bersama Ketua Pengarah PASTI Malaysia Sdr Damanhuri Dol. Turut hadir Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap ADUN Penaga) YB Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Ustaz Fawwaz Mat Jan, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP), Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PASTI, Majlis Guru PASTI Malaysia, Pengarah-pengarah PASTI Negeri dan penggerak-penggerak PASTI.

Alhamdulillah. Tahniah dan syabas juga kepada graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) yang telah menerima Anugerah dalam Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Kali Ke-13 ini seperti berikut:

1. Anugerah Presiden:
Nurul Ain binti Zaini – Negeri Sembilan

2. Anugerah Ketua Pemuda: 
Asnaliah binti Nahrawi – Negeri Pahang

3. Anugerah Ketua Sektor: 
Nur Izzah binti Sudin – Negeri Kelantan

4. Anugerah Ketua Pengarah:
Rubiah binti Hashim – Negeri Perak

Berikut merupakan Seikhlas Nukilan Kasih saya yang dimuatkan di dalam Buku Program:

“Alhamdulillah. Pertama dan selama-lamanya marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T atas ni’mat Iman dan Islam, seterusnya kekal istiqamah bersama perjuangan Islam selari dengan sunnah Rasulullah S.A.W. 

“Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh tenaga penggerak PASTI di seluruh negara yang telah bertungkus-lumus dalam jihad pendidikan Islam menjadikan PASTI pra-sekolah berteraskan Islam terbaik kepada generasi pewaris ummah.

“Sempena Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia yang menjadi acara gilang-gemilang ini, sudah pasti para graduan dalam kalangan Guru PASTI seluruh negara amat menanti-nantikan saat dan detik yang bersejarah ini dalam diari hidup masing-masing. 

“Setelah berhempas pulas mengikuti sukatan pelajaran tempoh 7 semester dan 3 tahun setengah, sudah tentu pengalaman itu menjadikan para guru melalui satu proses pengajian yang sistematik yang mampu mematangkan para guru mencurahkan kembali ilmu yang diperolehi. 

“Guru PASTI yang menjalani proses pembelajaran di Institut Latihan PASTI Malaysia (ILPM) perlu memahami bahawa kedudukan para Guru PASTI adalah sangat istimewa. Bukan hanya aspek pendidikan formal dalam buku sahaja yang perlu diajarkan, bahkan para Guru PASTI berperanan menjadi pencorak ‘sibghoh Islam’ dalam diri anak-anak murid PASTI selari dengan aspirasi yang telah wujud dalam perjuangan PAS sejak dahulu lagi.

“Sudah tentu cabarannya besar dan menuntut para guru untuk mempunyai kefahaman dan keyakinan yang tinggi terlebih dahulu terhadap Islam dan thaqafahnya dalam mendepani tugasan selaku pendidik, dalam masa yang sama sebagai murabbi pencorak asas kehidupan berteraskan agama kepada anak-anak didik.

“Justeru, saya mengharapkan para graduan Guru PASTI sempena Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Kali Ke-13 pada tahun 2022 ini dapat memanfaatkan sebaik mungkin ilmu yang diperolehi. PASTI Malaysia yang berada di bawah kelolaan Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan alfun mabruk di atas kejayaan semua. 

“Semoga Allah merahmati dan mengurniakan kita semua ni’mat istiqamah. Saya doakan semoga segala pengorbanan dalam khidmat bakti di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) diterima oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai amal soleh di sisiNya. 

“Siiru ‘ala barakatillah!”

Sekali lagi, ribuan tahniah dan syabas kepada guru-guru PASTI yang bergraduat. Semoga Allah memberkati segala usaha guru-guru sama ada dalam menimba ilmu atau mencurahkan ilmu yang diperolehi. Teruskan usaha mendidik serta mengasuh anak-anak PASTI dalam usaha kita untuk memenangkan Islam di negara tercinta ini.

Visi dan Misi PASTI

Visi PASTI: Melahirkan insan soleh pintar di Malaysia melalui pendidikan pra-sekolah sebagai elemen terpenting.

Misi PASTI: Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti PASTI di Malaysia bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam.

Falsafah pendidikan PASTI

Satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek sahsiah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada Islam, Iman dan Ihsan.

Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognotif, psikomotor, bahasa, sosio-emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam.

Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah S.W.T di dunia dan di akhirat.

Lagu Rasmi Guru PASTI Malaysia

Kami ini guru-guru PASTI
Dengan ilmu kami berbakti
Mendidik generasi masa kini
Akhlak mulia idaman kami

Berpegang teguh dengan Al-Qur’an
Menabur bakti penuh kesungguhan
Dengan satu tekad mencari keredhaan
Hingga anak PASTI cemerlang gemilang

Guru maju terus melangkah
Guru mara membimbing ummah
Demi Islam kami berjuang
Inilah ikrar kami semua

Allahu Robbuna
Al-Rasul qudwatuna
Al-Qur’an dusturuna
Al-Jihad sabiluna

Allah Tuhan kami
Rasul ikutan kami
Al-Qur’an panduan kami
Jihad jalan kami.

Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan!

Yang menjalankan amanah;

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI,
Ketua Sektor Pendidikan,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) – HARAKAHDAILY 25/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -