Presiden PAS luruskan sisi penting sejarah kemerdekaan

- Advertisement -

PADANG RENGAS: Negara dan rantau ini telah dirosakkan dengan kedatangan penjajah yang memusuhi Islam di mana perjuangan menentang dan melawan mereka adalah bertitik tolak dari keimanan dalam jiwa dan diri umat Islam ketika itu.

Demikian itu, gerakan menghadapi penjajah telah bermula dengan perjuangan Islam sejak penaklukan Melaka 1511 dan bukan dari penubuhan Umno tahun 1946 sebagaimana difahamkan atau difahami pihak-pihak tertentu.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Islam yang datang ke Nusantara termasuk di Malaysia adalah sempurna dan berdaulat yakni memerintah negara, dan bukan terpotong-potong atau dikurangkan.

Ceritanya, menghadapi penjajah Portugis, Belanda dan British yang bertali arus ke rantau ini, umat Islam di Nusantara sebaliknya tidak menyerah kalah, bahkan rumpun Melayu termasuk daripada Indonesia telah berkumpul di Semenanjung.

Mereka itu jelas beliau, adalah daripada Acheh dan Minang terdiri sama daripada keturunan Jawa, Banjar dan Bugis telah datang beramai-ramai kerana jihad menentang penjajah dan memperkuatkan rakyat dengan Islam.

“Mereka bergerak mendidik rakyat, mengajar agama untuk melawan serangan pemikiran yang mahu menghancurkan kefahaman Islam. Ulamak-ulamak yang berkumpul di Pulau Penyengat ratus tahun lalu yang pulang dari Makkah menubuhkan kumpulan Islam yang pertama.

“Diikuti penubuhan Partai Syarikat Islam yang berkembang seluruh nusantara, perjuangan menentang penjajah melibatkan umarak dan ulamak, raja-raja dan ulamak, melibatkan rakyat.

“Ada yang mati syahid, dipenjara, dibuang negeri, dipinggirkan, namun tidak menyerah kalah sehingga ratusan tahun lamanya,” ujar beliau pada Karnival PAS Pilihanku di Dewan Millenium, Lubuk Merbau, di sini semalam.

Lanjutnya bentang beliau, dalam gerakan politik moden, pemimpin-pemimpin Melayu dari berbagai sayap sama ada kanan, tengah dan kiri turut memperjuangkan kemerdekaan rantau ini daripada cengkaman penjajah.

Menurutnya, Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang ditubuhkan ketika itu dan pernah dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmy daripada Perak telah hampir membuatkan Jepun menyerah kalah.

Malah menyingkap sejarah yang disembunyikan, beliau memberitahu bahawa para pemimpin Nusantara terdiri daripada Dr Burhanuddin, Sukarno, Mohammad Hatta dan lain-lain pernah bertemu di Taiping, Perak.

Muslihat penjajah Barat

“Mereka mahu mengambil alih pemerintahan sebelum datangnya British dan Belanda, sama-sama nak isytiharkan kemerdekaan. Namun kuasa-kuasa Barat sudah merancang.

“Bila mereka (sesama kuasa Barat) nak lawan Jerman dan Jepun dalam perang dunia kedua, mereka janjikan nak beri kemerdekaan kepada negeri-negeri jajahan. Tetapi kemerdekaan itu jangan serah kepada kumpulan Islam.

“Mereka sanggup menyerahkan kepada Komunis asalkan jangan pada Islam. Bukan sahaja Yaman Selatan, negeri Arab jajahan British. British tinggalkan Yaman Selatan serah pada Komunis memerintah Yaman Selatan, termasuk nusantara ini.

“Di masa Jepun, kumpulan Komunis banyak diberikan senjata, memiliki senjata. Di Tanah Melayu banyak orang Cina, di Indonesia banyak Komunis orang Indonesia, mereka bunuh para ulamak dan sultan di Sumatera, barangkali banyak yang tak tahu.

“Ini tonggak kekuatan orang Islam. Kecuali Sultan Aceh, wali kota, wali negara kerana Aceh ada kekuatan. Sultan Hamengkubuwono Jogja menyambung perjuangan Diponegoro menyumbang kepada kemerdekaan Indonesia. Pengaruhnya sangat besar.

“Yang lain dibunuh ulamak-ulamak, dikutip seorang demi seorang. Di Tanah Melayu Bintang Tiga, ada orang Melayu yang tak faham, terlibat dalam perjuangan kiri mengangkat senjata selepas Jepun menyerah kalah,” imbau Tuan Guru.

Menurut beliau lagi, ada pemimpin veteran PAS pernah memberitahunya bahawa Dr Burhanuddin berperanan memberi nasihat apabila ada orang Melayu mahu masuk hutan bersama Komunis, kerana itu bukan cara yang betul.

Sebaliknya kata beliau, orang-orang tua dahulu begitu mengetahui peritnya pemerintahan Bintang Tiga Komunis, ditambah British datang menakluk semula dan Belanda datang berperang di Indonesia.

“Akhirnya mereka (penjajah) terpaksa memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bila ada ura-ura nak beri kemerdekaan di samping parti Kebangsaan Melayu gabungan, United Malays National Organization, kumpulan-kumpulan Melayu bergabung.

“Apabila pemimpin-pemimpin Islam boleh membaca permainan British dalam penubuhan Umno, nak mengumpan orang Melayu, (maka) ditubuhkan Hizbul Muslimin (oleh pemimpin Islam),” cerita beliau.

Pun begitu kata Tuan Guru, Hizbul Muslimin yang menempa sejarah penubuhannya di Gunung Semanggol, Perak itu telah diharamkan oleh British hinggalah pada tahun 1951 ditubuhkan PAS dari asalnya sebuah NGO kemudiannya menjadi parti politik.

Bahkan Perak baginya, turut menempa sejarah apabila dalam Pilihan Raya 1955 pra kemerdekaan, PAS berjaya menang kerusi pertama di negeri tersebut, selain ramai juga pemimpin ulung datang dari bumi Perak.

Peranan MP tunggal PAS

“Menang satu kerusi. Satu-satunya pembangkang dalam Parlimen Tanah Melayu sebelum kemerdekaan, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein. Masa itu tak ada panggilan ‘Yang Berhormat’, dipanggil ‘Encik Pembangkang’.

“Dengan seorang Ahli Parlimen dan mengajak pemimpin-pemimpin Umno yang masih ada roh Islamnya. Kerana hodoh-hodoh orang Melayu ini, sayang pada Islam. Mereka menganggap Islam itu Melayu, Melayu itu Islam. Orang masuk Islam dia kata masuk Melayu. Eratnya Islam dengan Melayu ini,” ujarnya.

Menurut Tuan Guru, apabila British mahu memberi kemerdekaan, ditubuhkan Suruhanjaya Reid yang dipengerusinya Lord Reid dengan ahli-ahlinya terdiri dari hakim daripada England, Australia serta dua orang India Pakistan yang pro-Barat.

Namun bidasnya, Perlembagaan yang digubal itu tidak ada Islam dan tidak ada kepentingan umat Islam di dalamnya, termasuk kedudukan raja-raja juga tiada
kekuatan langsung diberikan.

Pun begitu katanya, Tuan Guru Ahmad Tuan Hussein selaku Ahli Parlimen PAS tunggal itu bersama rakan-rakan Umno yang masih ada semangat Islam dan pihak raja-raja telah menyuarakan kepentingan berkaitan.

Bahkan terangnya, turut menghargai perjuangan kaum lain dalam kalangan orang Cina dan India yang asalnya dibawa ke negara ini oleh penjajah diperhambakan di estet dan lombong atau menjadi askar berperang bagi pihak British.

Jelasnya, kaum lain diterima sesuai dengan ajaran Islam terhadap masyarakat majmuk, namun syarat Jus Soli oleh untuk warga asing menjadi rakyat secara mudah itu dibimbangi meminggirkan kaum Melayu.

Namun menurut beliau, oleh kerana ingin mencapai kemerdekaan dengan cepat, maka syarat Jus Soli oleh British itu akhirnya diterima juga dengan semangat Islam adalah agama masyarakat majmuk serta adil untuk semua.

Kemerdekaan tersebut beritahu Tuan Guru, diterima dengan Perlembagaan turut memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan di mana berbeza dengan kemerdekaan Indonesia yang tidak meletakkan Islam sebagai agama negaranya.

Islam: Akidah, politik, Perlembagaan dan negara

“Jadi perbahasan dalam Suruhanjaya Reid apa makna Islam, adakah Islamic State? Negara Islam? Ataupun Islam mengikut fahaman orang Barat, Islam yang tak ada negara. Oleh kerana sifat Perlembagaan itu ayatnya umum, mereka biarkan begitu sahaja.

“Dalam masa yang sama kebebasan terhadap penganut-penganut agama lain diizinkan. Raja mengikut konsep Perlembagaan masih ada.

“Walaupun penjajah menafsirkan ikut otak dia nak pinggirkan Islam, bila kita merdeka, kita mentafsirkan Islam itu agama yang sempurna, tak boleh ikut penjajah lagi. Ini perjuangan PAS, ini khilaf PAS dengan Umno peringkat awal,” ceritanya.

Tempelaknya, keberanian untuk meminggirkan Islam termasuk ke atas ketuanan dan kepimpinan Islam itu muncul kembali di masa Pakatan Harapan menjadi kerajaan sebelum ini melalui ICERD dan Statut Rom.

“Mengapa PAS menegaskan kepimpinan Islam? Kerana kepimpinan Islam sahaja yang ada perhitungan politik dosa dan pahala, hari akhirat. Islam adalah akidah, bukan ideologi. Idealogi ini akal manusia. Manusia boleh buat apa saja.

“Dia mengaku orang Islam tapi asingkan duit politik, boleh rasuah, boleh salah laku, boleh hentam duit banyak-banyak, lepas itu buat umrah, senang je. Seolah-olah tak ada tanggungjawab agama. Tak ada tanggungjawab dosa pahala sampai akhirat.

“Kekuatan Islam ialah akidahnya, dalam politik (dan) Perlembagaan negara,” terang Tuan Guru. – HARAKAHDAILY 25/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -