Suasana politik tidak memihak kepada mana-mana parti

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: Suasana politik hari ini dilihat tidak memihak kepada mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru, ujarnya PAS mengharapkan Perikatan Nasional (PN) mampu mencipta kemenangan dengan seruan penyatuan ummah.

- Advertisement -

“PRU15 yang akan datang, kita mengharapkan Perikatan Nasional apatah lagi ditambah dengan seruan Penyatuan Ummah, ia mampu mencipta kemenangan walaupun suasana politik hari ini dilihat tidak memihak kepada mana-mana parti politik,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Taujihat Dan Dialog Persiapan PRU15 bersama seluruh kepimpinan semua peringkat di sini, semalam. Majlis turut dihadiri Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Fauzi Yusuff.

Tuan Ibrahim turut menekankan kepentingan memahami konsep berjamaah dan patuh kepada arahan.

“Ahli akar umbi sepatutnya sudah berada pada tahap bersiap sedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa sahaja, dan patuh pada arahan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menyentuh kegagalan Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan yang masih menjadi mimpi ngeri rakyat Malaysia umumnya.

Di samping itu, katanya rakyat Pulau Pinang juga berhadapan dengan pelbagai isu rakyat terutamanya jenayah alam sekitar.

“Isu air, ladang babi, pencemaran sungai dan pulau puaka adalah isu besar yang dihadapi rakyat Pulau Pinang,” katanya yang juga Menteri Air dan Alam Sekitar. – HARAKAHDAILY 25/9/2022

- Advertisement -