Longkang awam jangan ditutup binaan kekal

- Advertisement -

SAYA mohon mana-mana pihak untuk tidak menutup longkang awam hingga menyukarkan kerja-kerja pencucian dan penyelenggaraan.

Ia dapat dilihat di sepanjang jalan utama dari Beserah hingga ke Balok. Longkang-longkang ditutup secara kekal dengan simen atau tar, sesetengahnya ditimbus, untuk laluan masuk kenderaan atau tapak perniagaan.

Keadaan ini mengganggu sistem saliran atau kelancaran air hingga boleh menyebabkan banjir kilat atau air bertakung di atas jalan. 

Tambah menyusahkan, longkang-longkang ini tidak dapat dicuci atau diselenggara bagi melancarkan aliran air.

Ia bukan sahaja boleh menyebabkan kesusahan kepada orang lain malah juga boleh dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa.

Pagi tadi saya bawa para pegawai daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Roadcare (M) Sdn Bhd untuk melihat kes seumpamanya di Beserah.

Turut bersama saya, Tok Empat Azairuddin dan ahli-ahli jawatankuasa beliau dalam JPKK Kg Darat, Beserah serta wakil-wakil zon Pusat Khidmat DUN Beserah.

Tempat yang ditinjau merupakan salah satu contoh kes aliran air yang tersekat yang menyebabkan banjir kilat di rumah-rumah sebahagian penduduk.

Perkara seumpama juga didapati di Balok berhampiran stesen minyak Petronas, di mana kerja-kerja pencucian dijalankan minggu lalu. Ia menjadi salah satu punca limpahan air di atas jalan.

Begitu juga di tempat-tempat lain yang berlaku limpahan air atas jalan. Sama ada aliran air tidak lancar atau langsung tiada longkang atau saliran.

Untuk kes di Beserah, insya-Allah pejabat saya akan bekerjasama dengan pihak JPKK bagi mengangkat cadangan penyelenggaraan dan naik taraf longkang-longkang terlibat. Manakala di tempat-tempat lain akan diberi perhatian seterusnya. 

Sementara itu, saya sekali lagi berpesan supaya kita semua dapat memberi perhatian kepada kebersihan dan fungsi longkang atau saliran di kawasan kita agar tidak mendatangkan kesan yang tidak diingini.

ANDANSURA RABU
ADUN Beserah– HARAKAHDAILY 13/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -