Politik yang mulia dihina dan dikotorkan

- Advertisement -

TUGAS mentadbir urusan dunia dan segala isinya, dinamakan sebagai khilafah mengikut bahasa al-Quran. Adapun terjemahannya dalam bahasa terkini ialah siasah atau politik. Peranan berpolitik ialah amalan mulia kurniaan Allah SWT kepada manusia, makhluk ciptaan-Nya supaya berada di alam bumi.

Makhluk Allah dalam kalangan para malaikat itu mulia, kerana ketaatan mereka semata-mata kepada-Nya. Fitrahnya yang tidak bernafsu dan tidak melakukan maksiat. Tiba-tiba mereka bertanya meminta penjelasan, apabila Allah SWT memaklumkan hendak mencipta manusia. Perkara ini disebutkan oleh firman-Nya:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠ وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِ‍ُٔونِي بِأَسۡمَآءِ هَٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٣١ قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ٣٢﴾

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan satu makhluk (manusia) menjadi khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan melakukan kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kalian ketahui.’ (30); Dan Dia mengajarkan kepada Adam (manusia pertama) nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman: ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kalian memang orang-orang yang benar!’ (31); Mereka (para malaikat) menjawab: ‘Maha Suci Engkau, tiada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’ (32)” (Surah al-Baqarah: 30-32)

Manusia ditugaskan berpolitik mentadbir kerana ciri-ciri fitrahnya yang berjasad, bernafsu, berakal dan diberikan ilmu kurniaan Allah SWT pada dirinya. Suatu kurniaan yang tidak terdapat pada malaikat dan makhluk yang lain.

- Advertisement -

Berpolitik merupakan tugas yang paling mencabar dan menjadi suatu ujian kepada manusia. Kelak, manusia itu dijanjikan ganjaran pada Hari Kiamat, setelah seluruhnya dibangkitkan semula selepas ajal dunia ditamatkan. Firman Allah SWT:

﴿تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ٢﴾

“Maha Suci Allah, Tuhan pada tangan-Nya jua (yang menguasai) segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); (Dialah Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, untuk Dia menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1-2)

Manusia yang paling taat kepada Allah SWT dan berjaya menggunakan akal dengan berpandukan petunjuk-Nya untuk melawan nafsu daripada melampau, diberikan suatu martabat yang mengatasi malaikat di langit. Adapun manusia yang derhaka dengan mengikuti nafsu dengan melampau tanpa menggunakan manfaat akalnya dan meninggalkan petunjuk Allah SWT, mereka itu lebih hina daripada binatang yang tidak berakal.  

Allah SWT mengurniakan kelebihan pertama kepada pemimpin adil yang mengikuti petunjuk-Nya mendahului amalan soleh lain, sebagaimana yang telah disenaraikan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ؛ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ، فَقَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ.

“Tujuh jenis manusia yang dipayungi Allah pada hari (Hari Kiamat) yang tiada pelindung melainkan daripada Allah sahaja. (Pertama), pemimpin yang adil. (Kedua), pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah. (Ketiga), seseorang yang hatinya sentiasa bergantung kepada masjid. (Keempat), dua orang yang bersaudara berkasih sayang kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana urusan perintah Allah. (Kelima), seorang lelaki yang diajak melakukan maksiat oleh perempuan yang bangsawan dan rupawan, lalu dia menolaknya dan menyatakan, “Aku (tidak mahu melakukan maksiat) kerana takut terhadap Allah”. (Keenam), seorang yang sangat pemurah dengan ikhlas sehingga apa yang disumbangkan oleh tangan kanan seolah-olah tidak disedari oleh tangan kirinya. Dan (ketujuh), seorang yang berzikir secara bersembunyi sehingga berlinang air matanya kerana khusyu‘ takut kepada Allah.” (Riwayat al-Bukhari 660 dan Muslim 1031)

Betapa mulianya, seorang yang berpolitik memimpin dan mentadbir negara serta umat dengan adil mengikut petunjuk Allah (Islam), sehinggakan mereka diletakkan pada kedudukan yang pertama.

Allah SWT memuliakan Nabi Ibrahim AS, setelah Baginda AS berjaya mengharungi ujian perjuangan dalam menegakkan agama-Nya. Sehinggakan, Baginda AS diusir oleh raja pada zamannya dan dihalau oleh ayahnya sendiri, setelah Baginda gagal diseksa.

Seterusnya, Baginda AS diuji lagi dengan perintah Allah SWT yang paling mencabar iaitu meletakkan putera kesayangan Ismail AS di Makkah yang kering-kontang tiada manusia dan bekalan hidup. Malah, Baginda juga disuruh mengorbankan Ismail AS.  Firman Allah SWT:

﴿۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّٰلِمِينَ١٢٤﴾

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikanmu imam (pemimpin) bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata: ‘(Dan aku mohon juga) daripada keturunanku.’ Allah berfirman: ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim.’” (Surah al-Baqarah: 124)

Allah SWT menegaskan bahawa bangkitnya dalam kalangan umat pada zaman dahulu para pemimpin yang berjuang menegakkan ajaran-Nya. Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ٢٤ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفۡصِلُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ٢٥﴾

“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami selama mereka bersabar. Dan mereka itu meyakini ayat-ayat Kami. (24); Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang memberikan keputusan antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa yang selalu mereka perselisihkan padanya. (25)” (Surah al-Sajdah: 24-25)

Selain itu, Allah SWT juga menugaskan para rasul dan anbiya’ yang berdakwah mengajak manusia kepada Islam, sekali gus menjadikan politik tidak terpisah daripadanya. Perkara ini dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW:

‌كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ ‌الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.

“Adalah Bani Isra’il pada zaman dahulu, pemimpin siasah (politik) mereka ialah para nabi. Setiap nabi diwafatkan, maka digantikan dengan nabi yang lain selepasnya (silih berganti). Tiada lagi nabi selepasku (Muhammad SAW), namun akan ada para pemimpin (bukan nabi lagi). Dan jumlah mereka amatlah ramai.”

 قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟

Para sahabat bertanya: “Apakah perintahmu kepada kami?”

قَالَ: فُوا بِبَيْعَةِ الأَوَّلِ فَالأَوَّلِ، أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ.

Sabda Rasulullah SAW: “Tunaikan janji taat setia (baiah) kepada yang pertama dan berikutnya, tunaikan kewajipan yang mesti kalian tunaikan terhadap mereka dan Allah akan bertanya (menghisab) akan segala kewajipan mereka (pada Hari Kiamat nanti).” (Riwayat al-Bukhari 3455 dan Muslim 1842)

Rasulullah SAW mewajibkan setiap Muslim berbaiah kepada pemimpin dalam kehidupan dunia. Sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌مَاتَ ‌وَلَيْسَ ‌لَهُ ‌إِمَامٌ مَاتَ مَيْتَةً جَاهِلِيَّةً

“Sesiapa yang mati tanpa pemimpin, nescaya mereka itu mati laksana dalam keadaan jahiliah.” (Riwayat Ahmad 16876, al-Tabrani 769 dan lain-lain)

Hadis di atas mentafsirkan firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kalian) apabila menetapkan hukum antara manusia hendaklah kalian menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan Ulil Amri (para pemimpin) antara kalian. Kemudian, jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Hal yang demikian itu lebih utama (bagi kalian) dan lebih baik akibatnya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Dalam pada itu, Allah SWT menegaskan bahawa perkara yang menyentuh soal kepimpinan dan pengikut akan dibawa semula untuk dihisab pada Hari Kiamat nanti. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾

“(Ingatlah) suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil tiap-tiap umat dengan pemimpinnya; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71); Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

Allah SWT memberikan suatu amaran keras terhadap mereka yang buta fikirannya dalam kehidupan dunia, sehingga hanya menumpukan hawa nafsu terhadap kehidupan diri, makan, perhiasan dan harta. Namun, tidak peduli terhadap tugas menegakkan perintah dalam seluruh aspek kehidupannya, sama ada kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat yang berpolitik, bukannya terkongkong dalam dirinya sendiri.

Rasulullah SAW telah menunjukkan suatu teladan apabila berjuang dan berhijrah bagi menegakkan sebuah negara yang mendaulatkan politik Islam. Tugas tersebut seterusnya disambung oleh para sahabat dan daripada kalangan umatnya yang setia sehingga Hari Kiamat.

Baginda SAW pernah memberikan suatu amaran yang keras terhadap mereka yang salah amalan politiknya, bahkan menghilangkan kewajipan memilih pemimpin adalah suatu bentuk pengkhianatan yang menjadi sebab kehancuran dunia ini. Abu Hurairah RA menceritakan:

‌بَيْنَمَا ‌النَّبِيُّ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌فِي ‌مَجْلِسٍ ‌يُحَدِّثُ ‌القَوْمَ، ‌جَاءَهُ ‌أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ: مَتَى السَّاعَةُ؟

Ketika Nabi SAW sedang bercakap-cakap dengan orang ramai, tiba-tiba datang seorang Badwi (dari kawasan luar Madinah), terus bertanya: “Bilakah berlakunya Hari Kiamat?”

فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَدِّثُ، فَقَالَ بَعْضُ القَوْمِ: سَمِعَ مَا قَالَ فَكَرِهَ مَا قَالَ. وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ لَمْ يَسْمَعْ. حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ، قَالَ: أَيْنَ -أُرَاهُ- السَّائِلُ عَنِ السَّاعَةِ.

Tiba-tiba Rasulullah SAW meneruskan perbualan (tanpa melayan persoalannya). Sebahagian pihak menganggap Rasulullah SAW tidak melayannya kerana tidak senang dengan pertanyaannya. Manakala, sebahagian pihak pula beranggapan Rasulullah SAW tidak mendengar persoalannya. Setelah selesai berbual-bual, tiba-tiba Rasulullah SAW bersabda, “Di manakah (aku mahu menemui) orang yang bertanya tentang kiamat itu?”

قَالَ: هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ.

Badwi itu menjawab: “Di sini, sayalah orangnya wahai Rasulullah.”

قَالَ: فَإِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila dihilangkan amanah, maka tunggulah berlakunya kiamat.”

قَالَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا؟

Dia bertanya lagi: “Bagaimanakah cara hilangnya amanah itu?”

قَالَ: إِذَا وُسِّدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila diserahkan urusan (melantik) orang yang bukan ahlinya (tidak layak iman, ilmu dan akhlaknya), maka tunggulah berlakunya kiamat.” (Riwayat al-Bukhari 59)

Penyelewengan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) daripada petunjuk Allah SWT yang diwahyukan kepada para rasul terdahulu menjadi sebab awal yang merosakkan urusan dalam mentadbir dunia, khususnya dalam aspek politik. Keadaan ini sekali gus menunjukkan bahawa bukan sahaja aspek aqidah, ibadat dan akhlak sahaja yang telah disesatkan, malah ia juga merosakkan kehidupan manusia apabila perjalanan kehidupan dunia dilalui dengan meninggalkan cahaya petunjuk daripada Allah SWT.

Setelah itu, tercipta pula ajaran sendiri yang memusnahkan manusia, termasuklah ajaran yang bersadur agama. Lebih-lebih lagi, fahaman atau ideologi ciptaan akal makhluk yang lemah, kerana tergelincir daripada petunjuk Allah SWT yang benar. Firman Allah SWT:

﴿وَمِنۡهُمۡ أُمِّيُّونَ لَا يَعۡلَمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّآ أَمَانِيَّ وَإِنۡ هُمۡ إِلَّا يَظُنُّونَ٧٨ فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ٧٩﴾

“Dan antara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui al-Kitab (Taurat), kecuali dongengan bohong belaka dan mereka hanya menduga-duga. (78); Maka, kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya; ‘Ini daripada Allah’, (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka, kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang mereka kerjakan. (79)” (Surah al-Baqarah: 78-79)

Mereka itulah yang merosakkan dan mengotorkan kewajipan politik yang mulia kurniaan Allah SWT kepada manusia. Lebih menyesatkan lagi, apabila penyelewengan yang berlaku itu disokong oleh para agamawan (ulama’) jahat. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT dengan hanya mengejar kesenangan dalam kehidupan dunia bersama para pemimpin yang mempergunakannya. Allah SWT berfirman:

﴿وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَالَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ١٧٧﴾

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka, berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk daripada kalangan orang-orang yang sesat. (175); Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dijulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176); Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” (Surah al-A‘raf: 175-177)

Pada zaman mutakhir, fenomena tersebut diberikan jenama sekularisme yang memisahkan politik daripada agama. Perkara yang dahulu mempengaruhi masyarakat Barat yang mencipta negaranya dengan berbagai-bagai ideologi.

Sehinggakan, keadaan itu menghilangkan jati diri manusia, apabila hilangnya iman dan akhlak yang menjaga aspek rohani dalam diri manusia. Bahkan, hilangnya kawalan akal dan dorongan nafsu yang menjadi fitrahnya, lalu menjadikan tiada batas antara halal dengan haram, dosa dengan pahala.

Pada masa yang sama, melupakan manusia tentang adanya balasan akhirat kelak. Oleh hal yang demikian, bukan undang-undang di dunia sahaja yang menjadi sempadan ketetapan Allah SWT bagi menyelamatkan diri manusia yang diciptakan khusus agar berpolitik mentadbir urusan dunia.

Apabila sempadan Allah SWT diceroboh, maka tiada iman atau lemah iman seseorang itu. Seterusnya, lemah atau terus hilang integritinya. Sehinggakan, politik dianggap peluang untuk memuaskan nafsu dari sudut harta dan diri, bukan lagi amanah yang mencapai fadilat yang dijanjikan kelebihan oleh Allah SWT.

Justeru, hukum Allah ditinggalkan, amalan zalim dilakukan, salah guna kuasa dan harta seperti rasuah dan sebagainya terus berleluasa sehingga merosakkan politik. Perkara itu menjadi penyakit yang membarah, sehingga merosakkan semuanya termasuklah diri manusia dan alam sekitar. Semuanya bermula dengan mengumpul kekayaan secara haram. Firman Allah SWT:

﴿وَإِذَآ أَرَدۡنَآ أَن نُّهۡلِكَ قَرۡيَةً أَمَرۡنَا مُتۡرَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيۡهَا ٱلۡقَوۡلُ فَدَمَّرۡنَٰهَا تَدۡمِيرٗا١٦﴾

“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah). Akan tetapi, mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” (Surah al-Isra’: 16)

Mereka yang kaya dan mewah itu menyumbangkan rasuah untuk membeli pemimpin, jentera kerajaan dan rakyat.

Seterusnya, perbuatan mereka itu merosakkan urusan dunia sebagaimana firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum: 41)

Percayalah bahawa laungan integriti tanpa iman dan akhlak dalam ideologi politik sekular hanyalah satu slogan kosong walaupun mereka itu berilmu dan berharta.

Al-Quran memaparkan satu kisah benar yang menggabungkan kuasa, pentadbiran dan kekayaan bagi menghancurkan manusia, disebabkan mereka menolak hidayah Allah daripada agama-Nya dan rasul-Nya:

﴿وَقَٰرُونَ وَفِرۡعَوۡنَ وَهَٰمَٰنَۖ وَلَقَدۡ جَآءَهُم مُّوسَىٰ بِٱلۡبَيِّنَٰتِ فَٱسۡتَكۡبَرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَمَا كَانُواْ سَٰبِقِينَ٣٩ فَكُلًّا أَخَذۡنَا بِذَنۢبِهِۦۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ أَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِ حَاصِبٗا وَمِنۡهُم مَّنۡ أَخَذَتۡهُ ٱلصَّيۡحَةُ وَمِنۡهُم مَّنۡ خَسَفۡنَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ وَمِنۡهُم مَّنۡ أَغۡرَقۡنَاۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظۡلِمَهُمۡ وَلَٰكِن كَانُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ يَظۡلِمُونَ٤٠﴾

“Dan (juga) Qarun, Firaun dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa bukti-bukti) keterangan-keterangan yang nyata. Akan tetapi, mereka berlaku sombong di (muka) bumi, dan tiadalah mereka orang-orang yang luput (daripada kehancuran itu). (39); Maka, masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka antara mereka ada yang Kami timpakan ke atasnya hujan batu kerikil dan antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri. (40)” (Surah al-‘Ankabut: 39-40)

Allah SWT memaparkan tiga jenis manusia makhluk perosak alam yang akan ditimpa hukuman bencana di alam dunia sebelum memperolehinya di akhirat kelak:

  1. Qarun ialah seorang hartawan yang berharta dan mempunyai kekayaan yang melampau setelah diambil secara haram dan juga membelanjakannya secara haram. Sehinggakan perbuatan itu merosakkan politik negara, ekonomi dan masyarakat. 
  2. Firaun ialah seorang raja diktator yang berlagak menjadi tuhan, dan bertakhta dengan penuh kezaliman.
  3. Haman pula ialah seorang Perdana Menteri yang melaksanakan apa sahaja arahan Firaun.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Safar 1444 / 12 September 2022

- Advertisement -