PN hargai Menteri Kabinet dan Menteri Besar PAS

Barisan pemimpin Perikatan Nasional (PN) sebelum perasmian Konvensyen PN 2022 bermula. - Foto J. Kemala
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN dan NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Menteri Kabinet serta Menteri Besar dari PAS mendapat perhatian dan menerima penghargaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya Menteri dan kerajaan negeri di bawah PN telah melakukan yang terbaik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara.

- Advertisement -

“Untuk itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan di atas pencapaian-pencapaian yang telah terhasil,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang dekat sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, bertanggungjawab melestarikan alam sekitar di negara ini.

“Secara khusus, saya menghargai usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di bawah kepimpinan Dato’ Sri Tuan Ibrahim, membantu menyelesaikan masalah air di Kelantan.

“Ini termasuk melaksanakan projek penggantian paip lama dan meningkatkan kadar liputan bekalan air dengan peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat keseluruhan sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) menerusi pelaksanaan empat projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kelantan,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang berjaya menyelesaikan krisis bekalan bahan api untuk penjanaan elektrik negara dengan meningkatkan hubungan dan membuat perjanjian dengan Indonesia bagi pembekalan arang batu.

Katanya, Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga memperkenalkan beberapa teknologi dan inisiatif terkini yang lebih mesra alam untuk penjanaan tenaga elektrik masa hadapan negara seperti turbin gas tersedia hidrogen, program peluasan solar tenaga hijau untuk kegunaan industri dan domestik.

“Beliau juga memperkenalkan dasar tidak membenarkan eksport tenaga boleh baharu ke luar negara yang merupakan suatu dasar strategik untuk Malaysia menuju negara rendah karbon,” katanya.

Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, di atas usaha-usaha yang dilakukan untuk memartabatkan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menyebarkan syiar Islam menerusi pelbagai program yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mantan Perdana Menteri itu mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yaakob kerana berjaya melaksanakan 82 peratus daripada Aku Janji dalam Manifesto PRU-14 setakat Mei lalu.

Katanya, pencapaian itu suatu yang memberangsangkan dan boleh dikatakan `on-track’ kerana dicapai dalam tempoh empat daripada keseluruhan lima tahun tempoh penggal pilihan raya.

“Saya percaya dalam tempoh masa yang masih berbaki, kerajan Kelantan akan berjaya melaksanakan 100 peratus janji dalam manifesto,” katanya.

Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Samsuri Ahmad kerana Menteri Besar Terengganu yang memimpin kerajaan negeri melaksanakan dasar dan inisiatif prihatin rakyat, termasuk menyediakan tapak rumah atau rumah untuk rakyat negeri Terengganu yang layak.

“Saya dimaklumkan sebanyak 18,124 lot tanah telah diluluskan di bawah Rancangan Tanah Berkelompok Tapak Rumah, menyediakan wad kelas tiga secara percuma di enam hospital kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM4.2 juta, menyediakan bantuan lesen motosikal bernilai RM300 untuk belia berumur 16-40 tahun dan mewujudkan 16,000 peluang pekerjaan baharu sehingga Jun lalu.

“Kerajaan Terengganu juga memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat untuk membantu golongan B40 membina rumah di atas tanah sendiri, dan menyediakan kad sejahtera dengan nilai bantuan RM500 setahun kepada 18,991 orang penerima untuk mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Ketika menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin berkata, Dr Samsuri datang berjumpanya dan memberitahu bahawa ketika zaman Pakatan Harapan, bayaran tunai Petroleum kepada kerajaan Terengganu dipotong 25 peratus dan bayaran selalu lewat.

Menurutnya, ini menyebabkannya membuat keputusan supaya bayaran tunai petroleum kepada kerajaan Terengganu dibayar 100 peratus tanpa potongan dan ini juga antara sumbangan besar kerajaan PN kepada rakyat Terengganu.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang berjaya mentadbir negeri Kedah dengan baik sejak peralihan kepimpinan kerajaan negeri pada tahun 2020 yang lalu.

Katanya, kejayaan mentadbir Kedah dengan cekap terbukti apabila berjaya mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM20 bilion pada suku kedua tahun ini yang merupakan angka tertinggi di Malaysia setakat ini.

“Kejayaan ini pastinya akan dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Kedah dan meningkatkan hasil negeri yang boleh disalurkan kepada rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif prihatin rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/22

- Advertisement -