Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN dan NORHANA MAT ZIN
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada bila-bila masa.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jika mengikut adat kebiasaan pun, tempoh sekarang kini memasuki tahun terakhir bagi penggal pilihan raya ini.
“Jadi kalau esok Perdana Menteri menghadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan sedia masuk gelanggang!,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang dekat sini, hari ini.
Turut hadir ialah Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah), Edward Linggu Bukut yang mewakili Presiden Star Sabah.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, juga membayangkan PRU akan diadakan selepas kerajaan membentangkan Bajet 2023 yang diawalkan kepada 7 Oktober ini.
Namun, katanya jika mengikut perjanjian antara PN dan Perdana Menteri yang beliau dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tandatangan, apabila Perdana Menteri hendak menentukan tarikh pilihan raya, Ismail Sabri terlebih dahulu perlu berunding dengan PN.
“PN juga adalah sebahagian daripada kerajaan. Tak tahu lah saya sama ada Perdana Menteri masih ingat adanya perjanjian itu,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau membaca kenyataan Presiden Umno merangkap Pengerusi Barisan Nasional (Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), yang menyatakan bahawa PRU mesti diadakan pada tahun ini dan bukan tahun depan.
“Kalau tunggu tahun depan, Barisan Nasional (BN) mungkin akan kalah. Saya seronok baca kenyataan ini. Maknanya, mereka itu taklah kuat sangat,” katanya.
Beliau berkata, PN mendapat laporan bahawa kepercayaan rakyat terhadap BN makin merosot, apa tah lagi tujuan desakan supaya PRU diadakan lebih awal adalah semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa bagi menyelamatkan pihak tertentu daripada hukuman mahkamah.
“Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Jadi sama ada pilihan raya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama saja. Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itu lah tujuan kita berada di dalam wadah PN.
Beliau berkata, sudah tiba masa untuk PN memalu gendang perang dan mempersiapkan bala tentera PN dengan segala kekuatan bagi melawan musuh.
Menurutnya, apabila PN mempunyai kesatuan baik dalam pemikiran, tindakan dan tujuan, maka mudah PN mengatur gerak kerja bagi memenangi pilihan raya.
Katanya, PN telah menunjukkan kesatuan ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor dan walaupun keputusan PRN Melaka dan Johor tidak memihak kepada PN, namun memperolehi peningkatan sokongan yang ketara daripada pengundi dan gerak kerja semakin tersusun dan lancar. – HARAKAHDAILY 27/8/22