Strategi ampuh satu lawan satu rahsia terbuka kejayaan pilihan raya

- Advertisement -

PAS Kedah memberikan sokongan penuh terhadap strategi satu lawan satu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 sebagaimana yang dilontarkan Timbalan Presiden PAS. 

Ia merupakan suatu rahsia terbuka (open secret) bagaimana kejayaan yang bakal diperolehi dalam PRU tersebut.

Selain itu, tindakan satu lawan satu berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH) juga merupakan langkah yang bersifat kalkulatif bagi menyimpulmatikan peluang PH untuk kembali berkuasa.

Berdasarkan keputusan PRU14 yang lalu, gabungan undi BN dan PAS sendiri boleh menyebabkan PH kehilangan sekurang-kurangnya 29 kerusi Parlimen.

Ini termasuklah Parlimen Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu yang berada dalam Negeri Kedah. 

Oleh itu, PAS Kedah menyeru semua pihak supaya kembali ke meja rundingan bagi memastikan strategi satu lawan satu ini direalisasikan. 

Semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN) serta parti-parti kerjasama yang lain perlu berada di bawah satu kesepakatan bagi menghadapi lawan PH.

Semua pihak perlu mempunyai tekad politik yang tinggi untuk keluar daripada garisan perpecahan. Sewajarnya kebobrokan dasar yang digubal pada era pemerintahan 22 bulan PH menjadi iktibar dan pengajaran besar supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’.

Satu demi satu tali yang mengikat peraturan agama dirungkai oleh Kerajaan PH. Konsep Rahmatan Lil ‘Alamindilencongkan dengan pandang sisi liberal sehingga soal maksiat individu dibingkaikan dengan ‘private sphere’.

Begitu juga sokongan terhadap ICERD, Statute Rome adalah sebahagian daripada sisi gelap era pemerintahan PH tempoh hari yang perlu terus diingati. 

PAS Kedah ingin menegaskan bahawa semua pihak perlu berpandangan jauh. Suara-suara sumbang yang cuba meminggirkan gagasan penyatuan ummah ini jelas mempunyai kepentingan individu. 

Ia tidak wajar menjadi penghalang demi agenda negara yang lebih besar dan utama. Rakyat Malaysia dari semua bangsa dan etnik perlu terus bersatu menolak kerakusan politik dan jajaran baru PH. 

“Muafakat Membawa Berkat”
“Islam Menyatukan Ummah”

YB USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Penerangan PAS Kedah – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -