Konsert tanpa tapisan, normalisasi pemikiran negatif

- Advertisement -

SAYA menzahirkan rasa sangat kecewa terhadap dengan dakwaan penganjuran siri-siri konsert artis antarabangsa yang akan diadakan di ibu negara kita yang jelas sekali bertentangan dengan adat dan budaya kita.

Bahkan penganjuran konsert sedemikian hanya akan menormalisasi budaya Barat terutama dalam kalangan anak muda. 

Budaya negatif ini sememangnya mencemarkan pemikiran anak muda yang juga bakal menjadi penentu masa depan negara. Ironinya, dalam fasa negara bakal mengadakan pilihan raya tidak lama lagi, anak muda yang seharusnya diberi pendedahan terhadap persediaan menghadapi PRU-15 disajikan dengan siri-siri konsert yang tidak bermoral yang akan membanjiri tanah air.

Perkara ini amat mengecewakan lebih-lebih lagi artis-artis yang dijemput seakan-akan bebas masuk ke negara kita walaupun ada dalam kalangan mereka terdiri daripada golongan LGBT.

Kedatangan mereka seolah-olah memberi bayangan bahawa golongan mereka telah diiktiraf secara tidak langsung di negara kita walhal mereka adalah golongan yang jelas sekali mengundang bala Allah sebagai mana sejarah Kaum Luth yang dibinasakan oleh Allah Taala. 

Oleh itu, saya menggesa pihak kerajaan dengan tuntas menyekat segala bentuk konsert yang boleh mencemarkan pemikiran generasi kini terutama anak muda. Sebagai alternatifnya, saya mencadangkan pihak kerajaan agar mengadakan konsert hiburan yang berlandaskan syariat Islam bagi memenuhi keperluan fitrah anak muda.

Tambahan pula, sebagai persediaan negara menghadapi PRU-15, anak muda sewajarnya diberi persediaan secukupnya bukan sahaja sebagai pengundi bahkan mereka juga bersedia untuk menjadi bakal pewaris kepimpinan negara.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -