50 maut: Banjir, tanah runtuh di India

Arus deras yang mengalit di Sungai Chakki susulan hujan lebat di Kangra, Himachal Pradesh, India pada 20 Ogos 2022 (FOTO ANI?Reuters)
- Advertisement -

Susunan: NORHANA MAT ZIN

LUCKNOW/BHUBANESHWAR, India: Banjir dan tanah runtuh yang berpunca daripada hujan monsun lebat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 50 orang di utara dan timur India sejak tiga hari lalu.

Pegawai kerajaan India berkata pada Ahad (21 Ogos), hujan lebat yang melanda ratusan kampung telah menyebabkan banyak rumah musnah dan ramai penduduk terkandas ketika pasukan penyelamat berusaha memindahkan mangsa yang terselamat.

- Advertisement -

Pada awal bulan ini, jabatan kaji cuaca persekutuan meramalkan India berkemungkinan menerima taburan hujan sederhana pada Ogos dan September, merujuk kepada hasil tanaman baik secara keseluruhan di negara ekonomi ketiga terbesar Asia yang bergantung kepada pertanian untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menjana pendapatan.

Sektor pertanian telah menyumbang sekitar 15 peratus kepada ekonomi AS$2.7 trilion India sambil mengekalkan bekalan kepada lebih separuh daripada 1.3 bilion penduduk.

“Hujan lebat diikuti tanah runtuh dan banjir di negeri Himalaya Himachal Pradesh sejak tiga hari lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 36 orang,” kata pegawai kerajaan negeri kepada Reuters. 

Kenyataan rasmi kerajaan turut memberitahu bahawa, di negeri pergunungan yang bersebelahan, Uttarakhand, seramai empat orang terkorban dan 13 orang lagi hilang akibat hujan yang berterusan.

“Kami telah mengerahkan helikopter untuk menyelamatkan orang yang terperangkap di kawasan terpencil akibat insiden berkaitan hujan. 

“Operasi menyelamat sedang giat dijalankan,” kata Ranjit Kumar Sinha, seorang pegawai di Jabatan Pengurusan Bencana Uttarakhand.

Di negeri timur Odisha, sekurang-kurangnya enam orang maut di tengah-tengah hujan lebat yang berterusan, kata seorang pegawai negeri.

Banjir yang melanda itu turut menjejaskan hampir 800,000 orang dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal di Odisha. 

Selain itu, dengan keadaan hujan yang berterusan itu turut mengganggu bekalan elektrik dan air, serta merosakkan infrastruktur jalan raya.

Setakat ini, pihak berkuasa di negeri itu sudah memindahkan hampir 120,000 penduduk dari kawasan yang terjejas.

Pihak berkuasa di daerah Ramgarh, negeri timur Jharkhand memaklumkan lima mangsa telah dihanyutkan arus deras di sungai Nalkari pada Sabtu (20 Ogos) lalu.

“Empat mayat telah ditemui setakat ini,” kata Madhvi Mishra, seorang pegawai daerah di Ramgarh. – HARAKAHDAILY 22/08/2022

- Advertisement -