Guna formula Umno: PAS bakal tawan 30 DUN di Terengganu

- Advertisement -

MENARIK baca laporan akhbar perihal Umno Terengganu yakin rampas 12 kerusi DUN di Terengganu daripada PAS. 

Kini, Umno hanya ada 10 kerusi DUN berbanding PAS sebanyak 22 kerusi DUN. Jika Umno berjaya rampas 12 kerusi DUN, Umno pula akan ada 22 kerusi DUN untuk bentuk kerajaan. 

Sangat nekad Umno Terengganu untuk menentang PAS. Tiada sekelumit pun hasrat untuk meneruskan agenda penyatuan ummah. 

Agak luar biasa keyakinan Umno ini, dari manakah keyakinan itu diperolehi sehingga 12 kerusi DUN mampu mereka rampas. 

Rupanya, keyakinan angka 12 itu datang daripada jumlah DUN yang dimenangi PAS di bawah majoriti 3,000 undi. Ini menjadi asas atau formula keyakinan Umno Terengganu. 

Mudah betul kira-kira yang dibuat Umno. Jika begitu, PAS gunakan formula yang sama yakni PAS yakin rampas kerusi DUN Umno yang di bawah majoriti 3,000 undi. 

Jadi berapakah kerusi yang bakal dirampas oleh PAS? Mari kita siapa yang kena… eh, kita lihat jumlah majoriti di semua kerusi DUN Umno Terengganu. 

Bukit Besi (46), Kuala Besut (143), Batu Rakit (299), Kijal (1265), Jertih (1,381), Hulu Besut (1,469), Seberang Takir (1,884) dan Permaisuri (1,970). Manakala dua lagi adalah Telemong (4,157) dan Langkap (3,446).

Daripada 10 kerusi DUN, sebanyak lapan kerusi yang dimenangi Umno majoritinya di bawah 3,000 undi dan hanya dua sahaja di atas majoriti 3,000 undi. 

Ertinya, jika PAS menggunakan premis sebegini, PRU15 nanti Umno hanya tinggal 2 kerusi DUN sahaja dan kerusi PAS bertambah daripada 22 kepada 30. 

Mudahkan formula Umno? Satu lagi, Umno Terengganu mengatakan, 

“Selain keyakinan berdasarkan majoriti dimenangi PAS di bawah 3,000 undi, kegagalan kerajaan negeri menunaikan beberapa janji pada PRU lalu turut mempengaruhi pengundi,”

Umno Terengganu baru bangun tidur kah, dekat PRU baru nak celik mata? 

Bangun basuh muka dan ulang apa yang saya ingin sebutkan “Wahai Umno, ketahuilah bahawa sebanyak 90 peratus manifesto PAS di Terengganu telah terlaksana” ulang sampai faham.

Pencapaian 90 peratus ini bukan gagal bang, tapi A+. Begitulah melayani kerenah nakal Umno di Terengganu. Mujur Dok Lok. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 20/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -