Kolaborasi penyahkarbonan MoU TNB-PETRONAS

Antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS)

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, pada pagi tadi, bertempat di hotel Dorsett Putrajaya, jadual disusun agar dapat bersama-sama hadir dalam majlis bersejarah lagi bermakna kepada negara melibatkan dua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) utama dalam bidang tenaga.

Setinggi-tinggi penghargaan buat kedua-dua pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS), yang mengundang saya untuk bersama-sama menyaksikan peristiwa penting upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) memacu peralihan tenaga.

Tahniah diucapkan kepada barisan kepimpinan TNB dan PETRONAS atas inisiatif berani dua syarikat gergasi tenaga ini bergabung melaksanakan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab, yang seiring dengan usaha kerajaan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, sekali gus menyokong agenda nasional terhadap komitmen Perjanjian Paris.

Malaysia telah membuat komitmen untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, seperti yang dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 di Parlimen. Ia merangkumi keprihatinan Malaysia terhadap isu perubahan iklim, pembangunan lestari dan peralihan tenaga.

Aspirasi ini memerlukan kerjasama erat dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan terutamanya dalam sektor tenaga yang merupakan enjin pertumbuhan kritikal ekonomi Malaysia dengan peranannya mendorong kegiatan dalam pelbagai sektor.

TNB melalui Hala Tuju Kelestarian 2050 dan PETRONAS dengan aspirasinya telah berikrar untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih, sejajar sasaran kerajaan mahu menjadikan Malaysia negara neutral karbon menjelang 2050.

Justeru, amat bermakna sekali apabila dua organisasi ini bergabung tenaga dan kerajaan yakin bahawa kerjasama dua syarikat gergasi tenaga ini akan mempercepatkan perjalanan nyah karbon sektor tenaga negara yang menjadi kunci kejayaan peralihan tenaga.

InsyaAllah ia akan dicapai terutamanya melalui pembangunan ekosistem hidrogen hijau dan teknologi memerangkap serta menyimpan karbon dengan memanfaatkan kepakaran teknikal serta sumber kedua-dua pihak TNB dan PETRONAS.

Kerajaan mengalu-alukan inisiatif ini yang akan dimulakan dengan penjanaan semula Stesen Janakuasa Sultan Ismail TNB di Paka, Terengganu, yang berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada negeri Pantai Timur. Lebih penting lagi, inisiatif ini bakal menyumbang kepada pertumbuhan Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara yang meletakkan sasaran 40 peratus kapasiti terpasang pada 2035.

Sekali lagi bagi pihak kerajaan, tahniah diucapkan kepada barisan kepimpinan TNB dan PETRONAS, khususnya Datuk Indera Baharin dan Datuk Tengku Muhammad Taufik yang dapat mencapai titik pertemuan dan muafakat demi kepentingan negara.

Lebih manis lagi, MoU ini dimeterai ketika kerajaan melancarkan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 yang menggariskan dasar peralihan Malaysia kepada tenaga lebih bersih yang menjadi matlamat MoU ini juga. Mudah-mudahan semua usaha murni kita bersama ini mendapat keberkatan yang Maha Esa jua serta dipermudahkan.

DATO’ SERI TAKIYUDDIN HASSAN
Menteri Tenaga dan Sumber Asli – HARAKAHDAILY 20/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -