Kandungan Netflix tidak tertakluk Akta 588

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kandungan filem atau drama dalam platform over-the-top (OTT) seperti Netflix, Viu dan Amazon Prime, tidak tertakluk kepada rangka kerja pelesenan dan tapisan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata ia berbeza dengan perkhidmatan penyiaran awam dan swasta dalam negara seperti Astro.

- Advertisement -

Katanya, situasi itu menyukarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) untuk mengawal kandungan filem dan drama.

“Pengguna mesti membuat kawalan kendiri berdasarkan klasifikasi kesesuaian umur (13 tahun dan ke atas, 16 tahun dan ke atas, 18 tahun dan ke atas) dan sinopsis maklumat berkenaan kandungan yang disediakan.

“Ibu bapa digalakkan melaksanakan kawalan ibu bapa dengan meletakkan pin akses bagi setiap profil
penonton isi rumah untuk memastikan kanak-kanak bawah umur tidak dapat mengakses kandungan tidak sesuai,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Yahaya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berhubung pendirian K-KOMM mengenai cadangan mengawal kandungan platform penstriman seperti Netflix.

Senator Dato’ Ahmad Yahaya

Bagaimanapun kata Zahidi, K-KOMM akan membuat aduan kepada platform berkenaan jika terdapat aduan daripada masyarakat mengenai kandungan yang tidak sesuai.

Walaupun begitu, K-KOMM masih berdepan isu perbezaan spesifikasi melalui aduan yang dikemukakan ke platform berkenaan memandangkan kriteria selamat ditonton antara negara dan platform berkenaan mungkin berbeza. – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -