Ada apa dengan sekolah pondok…

Penulis, Azamin Amin meyampaikan khutbah Hari Raya Aidil Fitri di tanah lapang berhadapan Maahad Ittiba' As-Sunnah, di Kuala Pilah.

Oleh AZAMIN AMIN

MAKANAN pun tidaklah sesedap mana. Biasa saja. Kalau orang lain mungkin tak sanggup. Biasanya kalau seekor ikan kembong yang bersaiz sedang, kami kongsi tiga ke empat orang untuk satu dulang.

Satu dulang bubuh nasi, letak kuah atas ala banjir. Lepas itu di atas, letak ikan seekor. Kalau ada bajet lebih, ayam besar seketul. Makanlah cubit-cubitan. Cuit serba sedikit. Berkat sedikit namun kenyang.

Advertisement

Yang penting bila memasak, masak kuah bagi lebih sedikit dan nasi putih biar banyak. Kemudian siapa yang ambil kepala ikan, dia kena ambil giliran cuci dulang. Itu peraturan tak tertulis kami, pelajar-pelajar pondok masa itu.

Tiap kali waktu makan tengahari atau malam, beraturlah kami ke dapur dengan membawa dulang (ada panggil talam) untuk mencedok nasi dan lauk. Sambil bersila, sungguh berselera kami menjamu selera. Dulang licin. Selalunya siap bertambah.

Sarapan sebelah pagi, biasanya ada orang kampung sedekah nasi lemak dan kalau tak ada, kami makan saja roti gandum kosong atau biskut keras (biskut lutut) cicah dengan kopi. Lepas subuh, tak dibenarkan tidur semula. Dimestikan melazimi membaca dan hafal surah-surah pendek.

Kalau lama belajar di pondok Madrasah ini, biasanya surah bermula Juz-Amma sehingga An-Nas, semua pelajar boleh ingat. Boleh katakan semua kena hafal sebab semua pelajar di Madrasah ini, akan diberi peluang untuk menjadi imam solat jemaah.

Selepas makan pagi, dalam jam 8.00 kami sudah siap mandi dan berpakaian baju melayu. Ada yang berjubah dan ada yang berkemeja. Semuanya ikut kemampuan masing-masing. Tidak ada baju seragam.

Rata-rata kami di sini bukan daripada golongan yang senang. Pakai saja mana yang ada, janji bersih dan tutup aurat. Tapi mesti pakai kopiah atau pakai songkok. Maka bermulalah sesi kelas kami pada hari tu, dari hari Ahad sehinggalah Khamis. Jumaat pula cuti.

Kami belajar di Madrasah itu mata pelajaran Harfiyah. Satu kaedah nak terjemah al-Quran secara mudah. Secara tak langsung kami boleh faham makna apabila baca al-Quran. Bukan tafsir tapi terjemah.

Ada kamus khas dibekalkan dan dikarang sendiri oleh guru kami Almarhum Ustaz Hashim Abdul Ghani.(Saya sempat mengaji dengan beliau selama setahun) Beliau seorang pendakwah dan ulama sunnah yang terkenal dan pernah berkecimpung dalam bidang kewartawanan. Seorang pejuang kemerdekaan dan ahli sejarah setempat yang tersohor di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Kelas Harfiyah setiap hari terbahagi kepada beberapa kelas. Ada kelas rendah, pertengahan dan peringkat tinggi. Di kelas ini kami belajar Nahu Sorof. Yang paling tinggi belajar Iq’rab.

Kelas kami bukan seperti kelas-kelas di sekolah. Ada bilik darjah lengkap kemudahan. Tak ada. Yang ada hanyalah pelajar bertalaqi di hadapan ustaz di dalam Madrasah, di ruang Mussolla (tempat solat) dan ada juga dibuat di luar, di bawah pokok rambutan umpamanya.

Melewati solat Zohor, makan tengahari, sambung semula sehingga membawa ke Asar. Selepas itu, pelajar bebas membuat pelbagai aktiviti. Biasanya dari pukul 5.00 sehingga 6.30 petang mereka beriadah.

Kadangkala pelajar-pelajar akan bermain bola sepak dengan penduduk kampung di padang berhampiran. Ada juga yang buat kerja sendiri, membasuh baju dan ada pula yang ditugaskan giliran memasak, masuk ke dapur untuk menyiapkan juadah makan malam. Menjelang Maghrib semua siap siaga di dalam Madrasah.

Sebelah malam lepas solat Isyak, akan bermula kelas Hadis sehingga jam 10.00 lebih. Biasanya kitab yang kami guna ialah Bulughul Maram. Pelbagai Hadis riwayat Bukhari Muslim. Jika hari Khamis, malam Jumaat, kami pelajar-pelajar dilatih untuk Mukhatabah. Dengan kata lain, berlatih berucap, bagi tazkirah atau bagi ceramah di hadapan khalayak.

Sebelum tidur dalam jam 11.00 malam, ikutlah kalau ada roti keping, kami makan, kalau tak ada terus masuk tidur. Ada yang tidur di Musolla, beralaskan lengan dan sehelai kain pelikat untuk menutup badan menahan kesejukan. Ada yang tidur atas tilam nipis yang dibeli atau disedekahkan orang ramai. Tak pernah ada yang ‘komplen’ atau mengadu. Semua lena diulit mimpi.

Kami pasrah. Masing-masing tidak meminta lebih. Tahu akan serba kekurangan diri. Dapat belajar ilmu agama ini pun sudah cukup bertuah, alhamdulillah. Nikmat Allah.

Hari Jumaat, kami cuti, tapi kami semua pelajar kena buat ‘General Cleaning’. Bersihkan seluruh Madrasah luar dan dalam. Cuci tandas, bersihkan dapur, mop lantai, ‘vakum’ karpet Mussola kerana pada waktu Jummat nanti, akan diadakan solat Jumaat. Maka ramailah yang akan berhimpun termasuk orang kampung dan orang luar yang datang menunaikan solat di situ.

Khuthbah disampaikan oleh Mudir atau para ustaz di situ secara bergilir-gilir dan termasuk ketua pelajar. Syukur, selama saya mengaji di pondok Madrasah ini, saya juga diberi peluang membaca khutbah Jummat di situ sebanyak tiga kali manakala Aidilfitri dan AidilAdha sekali. Jika hari raya, kami solat sunat di kawasan tanah lapang di hadapan Madrasah itu. Kami buat ikut apa yang diajar sunnah Nabi Muhammad SAW. Ada hadis sahih tentang itu.

Jarak Madrasah kami ke pekan, hanya dua Kilometer sahaja dan cuti hari Sabtu adakalanya kami hanya berjalan kaki ke pekan. Jimat sedikit tak payah naik bas, bayar tambang 50 sen. Pergi pekan bukan buat apa pun, sesekali nak ubah selera makan di kedai, itupun kalau ada duit belanja sedikit yang mak ayah bagi. Kadang-kadang, ada pekedai dah kenal muka kami dan kami digelar sebagai ‘budak surau’, mereka siap bagi diskaun lagi.

Tapi seingat saya, selama belajar bersama rakan-rakan pelajar dan adik-adik di sini, tak pernahlah kami pergi meminta-minta atau mengemis dari satu kedai ke kedai yang lain. Bawa tabung derma jauh sekali. Kami ada harga diri dan tahu malu. Senaif mana pun kami atau sedaif apa pun kami, kami tak pernah menunggu atau mengharap belas ihsan atau simpati orang.

Ada pelajar ambil upah dengan pendudk kampung, kutip hasil kebun, panjat pokok kelapa dan pelbagai kerja rencam di kampung. Tak pernah kami mengemis sana sini, guna nama agama atau nama Madrasah tempat kami belajar ini. Jauh sekali disuruh buat iklan dan jaja cerita kutip derma macam yang penipu atau ‘Scammer’ buat. Akhirnya kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga.

Ya bukan sedikit tohmahan yang diterima. Ada yang kecam kami pelajar pondok ini tiada ‘masa depan’. Belajar di sini sebab tak boleh belajar tinggi lagi. Ada yang kata sebab terlampau ‘benak’ atau nakal sehingga tak boleh kawal maka keluarga ‘sumbat’ kami ke sini. Apa daya kami, kami diam dan sabar sahajalah.

Madrasah ini sudah bertapak sejak tahun 1952, sebelum merdeka. Sudah ribuan pelajar yang lahir daripada Madrasah ini. Ada yang sudah buat tesis, buat kajian PHD daripada pelbagai Universiti. Buku-buku tesis mereka pun ada di dalam simpanan di rumah almarhum Mudir kami.

Banyak juga program yang telah dibuat di sini, daripada orang kebanyakan, orang kampung, orang besar, orang berjawatan sehinggalah kerabat Diraja juga pernah hadir di sini. Bukan dabik dada tetapi nak cerita, tiada apa yang ingin diselindungkan. Semuanya adalah pengajian agama. Tiada tipu daya.

Saya sendiri secara peribadi selepas bertahun-tahun meninggalkan pondok pengajian ini, datang semula sebagai seorang wartawan dan menemubual Mufti Perlis Dato’ Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang hadir sebagai tetamu jemputan di satu program yang dianjurkan oleh Madrasah ini.

Jadinya tidak tahulah apa kajian, yang dibuat oleh bijak pandai cendekiawan mana yang mengatakan sekolah pondok melahirkan ‘ekstremisme’, pelampau dan pengganas. Kalau tak percaya, cubalah datang duduk merasai denyut nadi suasana belajar di sini, makan dulang bersama kami, memasak, berdikari, bermain bola dan bergurau sesama kami di sini.

Itulah selingkar kisah ringkas sekolah pondok. Tiada apa yang hebat atau istimewanya. Seingat saya belajar lebih setahun di situ, belum pernahlah saya mendengar Mudir atau ustaz-ustaz saya mengarah kami mengangkat senjata atau mencetuskan huru-hara. Bom jauh sekali. Rupa bentuknya pun kami tak tahu. Yang ada di tangan kami, hanyalah sebilah pisau untuk menyiang ikan bagi memasak hidangan.

Kalau tiada apa-apa, kami hanya duduk diam sahaja dan terus belajar agama. Kami tak mahu hampakan hati ibu ayah yang mahu kami jadi orang berguna apatah lagi memalukan nama baik mereka dan agama Islam tercinta.

(Penulis adalah Penolong Pengarang Berita HARAKAH dan Madrasah yang dimaksudkan ialah Maahad Ittiba As-Sunnah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang mana penulis merupakan salah seorang bekas penuntut antara tahun 1998 dan 1999 di situ. Penulis boleh dihubungi atau ingin memberi pandangan di WhatsApp 019-6479080) – HARAKAHDAILY 10/8/2022