Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah tidak melaksanakan sepenuhnya Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) kerana terikat dengan sudut pandang hukum syarak.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata ini yang menyebabkan terdapat beberapa resolusi seperti yang disyorkan oleh CRC tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Sebagai contoh bagi had umur perkahwinan, katanya ada negeri bersetuju meminda had umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi perempuan dan lelaki, namun ada negeri mengekalkan had umur kepada 16 tahun untuk perempuan dan 18 tahun bagi lelaki.
“Namun begitu, kita tetap membawa beberapa saranan bagi mematuhi CRC seperti berkaitan had umur perkahwinan yang saya sebutkan tadi.
“Walaupun kita masih mengekalkan (had umur perkahwinan) di sebahagian negeri, termasuk di Wilayah Persekutuan, tetapi kebenaran itu bukan yang agak longgar, tetapi masih dalam pengawasan pihak tertentu dan sangat sesuai dalam konteks sekarang,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Fadhlina Sidek di Dewan Negara, hari ini.
Ahmad Marzuk berkata, Mahkamah Syariah juga terikat dengan CRC dari segi isu hukuman sebat terhadap kanak-kanak yang didapati bersalah melakukan jenayah syariah.
Beliau mengakui bahawa Seksyen 1(5) Akta Prosedur Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 tidak menyebut secara jelas pengecualian hukuman sebat terhadap kanak-kanak yang didapati bersalah terlibat dalam jenayah syariah.
Bagaimanapun, katanya Seksyen 128 akta yang sama ada menyebut cara hukuman terhadap pesalah muda yang ditakrif sebagai pesalah bawah umur iaitu 16 tahun dengan hukuman berbentuk pemulihan seperti teguran wajar oleh mahkamah dan bon berkelakuan baik di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
“Melalui melalui latihan secara berterusan, Hakim Syarie didedahkan dengan cara memutuskan hukuman yang wajar terhadap pesalah kanak-kanak,” katanya.
Selain itu, katanya Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia dalam proses mewujudkan garis panduan pengendalian pesalah kategori tersebut. – HARAKAHDAILY 9/8/22