Stesen kereta api bawah tanah tenggelam di Seoul: 8 maut

Seorang lelaki terperangkap di atas bumbung keretanya yang sedang ditenggelami banjir di Seoul, Korea Selatan pada malam Isnin, 8 Ogos 2022. (FOTO Koreaboo/Twitter@eennaax)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

SEOUL: Sekurang-kurangnya lapan orang maut di sekitar ibu kota Korea Selatan dan kawasan metropolitan di sini selepas hujan lebat semalaman sejak malam Isnin (8 Ogos) menyebabkan bekalan elektrik terputus, dengan sistem jalan raya dan kereta api bawah tanah tenggelam dilanda banjir kilat.

Pihak berkuasa Seoul dalam kenyataan pada Selasa (9 Ogos) berkata, kejadian limpahan air banjir itu melanda beberapa kawasan di Seoul menyebabkan penduduk dipindahkan.

- Advertisement -

Hujan lebat yang turun terkumpul di Seoul mencecah 420 milimeter (mm) setakat jam 5 pagi Selasa (4 pagi waktu Malaysia), dengan lebih banyak jumlah hujan diramalkan bakal melanda.

“Bahagian selatan Seoul menerima lebih 100mm hujan sejam pada lewat Isnin, dengan beberapa bahagian bandar itu menerima 141.5mm hujan, hujan terburuk dalam 80 tahun,” lapor menurut media tempatan Korea Selatan yang memetik kenyataan Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).

Di daerah Gangnam yang padat dengan penempatan penduduk, beberapa bangunan terputus bekalan elektrik dan telah ditenggelami air; manakala kereta, bas dan stesen kereta api bawah tanah ditenggelami air, menyebabkan orang ramai terkandas.

Hujan lebat bermula pada malam Isnin, 8 Ogos 2022 yang kini membanjiri Seoul dijangka akan berlarutan sehingga esok, Rabu, 10 Ogos, 2022. (FOTO Koreaboo)

Gambar dan video yang tersebar di media sosial menunjukkan jalan raya yang dinaiki air dengan penumpang mengharungi hujan, serta air mengalir menuruni anak tangga stesen kereta api bawah tanah berkenaan.

“Saya berada berhampiran stesen Gangnam malam tadi apabila hujan semakin lebat, dengan guruh dan kilat menyambar setiap 30 saat,” kata Lee Dongha, seorang pekerja pejabat berusia 27 tahun di Seoul.

“Tiba-tiba, bas, stesen kereta api bawah tanah dan jalan-jalan ditenggelami air, dan ketika itulah saya dengan cepat memutuskan untuk menempah penginapan kerana saya tidak mahu dibiarkan terkandas, tiada tempat untuk pergi,” tambahnya.

Air banjir melimpahi stesen kereta api bawah tanah Seocho di Seoul. (FOTO Koreaboo)

“Sekurang-kurangnya lima orang maut di Seoul dan dua yang lain di wilayah jiran Gyeonggi setakat 6 pagi Selasa,” ujar kenyataan Ibu Pejabat Tindakan Bencana dan Keselamatan Pusat Seoul.

Tambah kenyataan itu, empat orang maut selepas terperangkap dalam bangunan yang dilanda banjir, seorang terkena renjatan elektrik, seorang ditemui di bawah serpihan perhentian bas, dan seorang lagi maut dalam tanah runtuh; dan sekurang-kurangnya sembilan orang di kawasan itu cedera, manakala enam lagi masih hilang.

Ibu Pejabat Tindakan Bencana dan Keselamatan Pusat Seoul mengeluarkan amaran krisis pada tahap tertinggi dan meminta organisasi awam dan swasta menyesuaikan waktu kerja mereka.

KMA pula mengeluarkan amaran hujan lebat di seluruh ibu negara dan kawasan metropolitan serta sebahagian wilayah Gangwon dan Chungcheong.

Banjir kilat membanjiri stesen kereta api bawah tanah Seocho dan meneggelamkan kenderaan yang diparkir di sekitar lokasi berkenaan pada 8 Ogos 2022. (FOTO Twitter/@i_melody_you/@cafetero7878)

Nasihat sedemikian dikeluarkan apabila jumlah hujan yang turun diramalkan melebihi 60mm dalam tempoh tiga jam atau 110mm dalam 12 jam.

KMA menjangkakan hujan lebat untuk bahagian tengah Korea Selatan akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya sehingga esok, Rabu (10 Julai) ini.

Terrdahulu, menurut agensi berita Yonhap, sehingga 170mm hujan turun di wilayah tengah negara pada Isnin, termasuk kawasan ibu kota.

“Seoul menerima 90.5mm hujan setakat 8 malam waktu tempatan. Daerah Dongjak di selatan Seoul juga merekodkan 137mm hujan sejam, hujan terburuk dalam beberapa dekad,” tambah laporan itu.

Jalan raya dibanjiri air di tengah Gangnam, Seoul. (FOTO: Twitter/RYUCHE_)

“Hujan lebat menyebabkan banjir dan gangguan bekalan air di beberapa wilayah. Penduduk di kawasan rendah dipindahkan untuk keselamatan manakala bahagian laluan kereta api bawah tanah terpaksa berhenti,” ujar laporan tersebut.

Seorang pengguna Twitter @evh5150 pula memberitahu bahawa terdapat gangguan bekalan elektrik di kawasan Gangnam. 

Pentadbiran Meteorologi Korea sebelum ini mengeluarkan amaran hujan lebat di seluruh Seoul, bandar pelabuhan barat Incheon, bahagian utara Wilayah Gyeonggi dan utara Wilayah Gangwon.

Beberapa kenderaan tenggelam dalam banjir di luar stesen kereta api bawah tanah Seocho di Seoul. (FOTO: Twitter/kafetero7878)

Sementara, Perkhidmatan Operasi & Maklumat Pengangkutan Seoul berkata dalam tweet kira-kira jam 10.10 malam (9.10 malam waktu Malaysia) bahawa Jalan Yangjae-daero dinaiki air dan kenderaan tidak boleh lalu. Gambar di persimpangan sebuah jalan raya  menunjukkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Mesej keselamatan awam yang dihantar kepada penduduk di Seoul pada kira-kira 11.10 malam waktu tempatan memberi amaran tentang potensi tanah runtuh. 

Penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan hutan juga dinasihatkan supaya berpindah sebagai langkah berjaga-jaga. – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -