Akhirnya lompat parti adalah suatu `dosa’

Suasana di Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen membuat pengundian bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Lompat parti membabitkan wakil rakyat, sama ada yang bergelar Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Malaysia mempunyai sejarah yang panjang.

PAS yang ditubuhkan pada 1951 adalah antara parti politik terawal yang menerima kesan buruk akibat amalan lompat parti yang menyaksikan kerajaan PAS di Terengganu dijatuhkan pada 1961.

- Advertisement -

Dalam pilihan raya negeri selepas kemerdekaan pada 1959, PAS menawan Kelantan apabila menang 28 daripada 30 kerusi DUN. Di Terengganu, PAS juga berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti tipis, iaitu 13 kerusi daripada 24 kerusi DUN.

Namun, krisis kepemimpinan ketika itu menyebabkan kerajaan PAS Terengganu tumbang dalam undi tidak percaya pada 30 Oktober 1961.

Ini berikutan tindakan ADUN Jeram, Ahmad Azzam Mohd Hanafiah dan ADUN Marang, Mohd Taib Sabri Abu Bakar yang ketika itu adalah EXCO Kerajaan Negeri dan Speaker DUN, bertindak keluar dari PAS.

Amalan lompat parti terus berlaku di kebanyakan negeri dengan sesetengah negeri seperti Sabah lebih kronik kerana bukan sahaja lebih kerap, malah dalam skala lebih besar dengan membabitkan bilangan wakil rakyat yang ramai..

Era pasca PRU-14 yang diadakan pada 2018 boleh dianggap sebagai kemuncak amalan lompat parti di Malaysia dengan bilangan Ahli Parlimen yang melakukan tindakan itu mencecah hingga 39 orang.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia, dalam satu penggal Parlimen mempunyai tiga Perdana Menteri dan kerajaan berubah dari blok Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) + Barisan Nasional (BN) + Gabungan Parti Sabah dan Sarawak.

Bagi penganalisis politik, perkembangan ini dilihat sebagai amalan demokrasi negara yang tidak sihat dan membimbangkan.

Namun bagi rakyat, keadaan ini memualkan kerana apa yang dilihat dan didengar ialah ahli politik hanya mahu mempertahankan kedudukan diri dan politik masing-masing.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Ahli Parlimen ketika perbahasan RUU ini dengan menjadikan kadar keluar mengundi yang rendah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang rendah, selain golongan muda yang kelihatan menjauhkan diri di PRN Johor.

Antara kebimbangan rakyat ialah jika Perdana Menteri menyandang jawatan tidak sampai dua tahun, bilakah masa untuk memikirkan, merancang dan melaksanakan dasar atau projek yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Di peringkat negeri, kekalutan juga berlaku selepas PRU-14. Di Sabah, keadaan lebih dramatik apabila Barisan Nasional (BN) Sabah dan Warisan yang dipimpin bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, masing-masing memenangi 29 kerusi daripada 60 kerusi DUN.

Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pimpinan Presiden Jeffrey Pairin Kitinggan, yang memenangi dua kerusi berjanji akan menyokong Tan Sri Musa Aman yang kemudian mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018.

Senario di Kuala Lumpur yang menyaksikan kerajaan BN tumbang mempengaruhi suasana politik di Kota Kinabalu. Sehari kemudian, enam wakil rakyat BN lompat parti menyokong Warisan dan memberi laluan kepada Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Dalam tulisan wartawan yang kemudian bekerja di Parlimen Australia, Dr Sarah Miskin, bertajuk “Politician Overboard: Jumping the Party Ship” pada 2003, katanya terdapat beberapa alasan mengapa Ahli Parlimen lompat parti.

Menurutnya, ini termasuk apabila sesuatu masalah yang perlu diselesaikan dengan cepat seperti pada tahun 1931 dan 1936, banyak lompat parti berlaku di Australia kerana mahu menubuhkan kerajaan dengan segera bagi menyediakan dasar yang cekap untuk menghadapi kegawatan ekonomi ketika itu.

Selain itu, katanya lompat parti boleh berlaku apabila aspirasi parti politik berubah dan apabila ahli politik mempunyai kepentingan peribadi.

Perdana Menteri menunjukkan isyarat bagus selepas RUU Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 mendapat sokongan lebih dua pertiga di Dewan Rakyat.

Walaupun Ahli Parlimen PH sering menjadikan Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH sebagai contoh lompat parti dan menyalahkan kerajaan sekarang, hakikatnya kerajaan PH sendiri tidak kisah untuk menerima Ahli Parlimen yang melompat menyertai PH.

Kepimpinan PH ketika itu sepatutnya menolak kemasukan Ahli Parlimen BN yang menyertai Bersatu. Hanya apabila terkena batang hidung sendiri selepas Langkah Sheraton, baharu Ahli Parlimen PH membangkitkan isu lompat parti.

Keburukan lompat parti bukan tidak diketahui atau disedari. Profesor Undang-Undang terkemuka, Allahyarham Datuk Salleh Buang, ketika hayatnya pernah mendedahkan bahawa sebanyak 41 daripada 193 negara di seluruh dunia telah melaksanakan Akta Anti Lompat Parti berdasarkan satu kajian dibuat sekitar tahun 2009.

Ini bermaksud, amalan lompat parti adalah isu sejagat dan bukan hanya masalah di Malaysia.

Malah di negara ini, Kelantan adalah antara negeri terawal melakukan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk mengharamkan lompat parti, namun tindakan itu dicabar di mahkamah.

Mahkamah Agung sebagai mahkamah paling tinggi pada 3 April 1992 memerintahkan dalam kes DUN lawan Nordin Salleh bahawa kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS, enakmen mengharamkan lompat parti adalah tidak berpelembagaan.

Ini berikutan undang-undang demikian melanggar Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan kerana menjejaskan hak untuk kebebasan berpersatuan.

Sehubungan itu, pujian perlu diberikan kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang sangat komited untuk meminda Perlembagaan dan membentangkan sendiri Bacaan Kedua (Pindaan Dalam Jawatankuasa) Pindaan Perlembagaan, Rabu lalu.

Begitu juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang bekerja keras melakukan pindaan itu hingga mendapat sokongan lebih dua pertiga dalam undi belah bahagian.

Persoalannya, adakah RUU Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 berkenaan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dapat menyelesaikan sepenuhnya amalan lompat parti.

Dr Wan Junaidi mengakui bahawa undang-undang ini bukan penyelesaian 100 peratus terhadap semua masalah, tetapi sebagai langkah pertama ke arah itu.

Pada peringkat ini, antara implikasi penting RUU ini ialah untuk memberi isyarat kepada rakyat bahawa ahli politik dan kerajaan serius untuk menangani amalan lompat parti

Inilah yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, ketika perbahasan RUU ini apabila beliau berkata: “Saya sering buka TikTok dan Facebook ahli politik, kadang-kadang kita dikecam oleh orang yang tidak berparti pun. Bagi mereka, orang politik sama sahaja. Cakap tak serupa bikin dan bercakap hanya untuk keuntungan mereka,” katanya.

Mendapatkan semula kepercayaan rakyat penting, terutama dengan anggapan rakyat bahawa ahli politik meraih keuntungan dari segi kewangan atau jawatan dengan melompat parti.

Pada masa sama, Ahli Parlimen perlu mengambil iktibar dengan pindaan Perlembagaan ini, iaitu rakyat menentang lompat parti dan perlu menjadikan rakyat sebagai keutamaan, mengatasi kepentingan diri.

Sama ada pindaan ini akan dapat mengekang amalan lompat parti hanya akan dapat diketahui selepas PRU-15 akan datang. Kemungkinan Ahli Parlimen melompat parti tetap ada dan hanya melalui penambahbaikan dari semasa ke semasa akan dapat menutup sebarang kelompangan dalam Perlembagaan. – HARAKAHDAILY 30/7/22

- Advertisement -