RUU Antilompat Parti selesaikan kemelut politik

Prof Madya Dr Rusdi Omar
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat, semalam, dianggap mampu menstabilkan politik Malaysia.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata melalui pelaksanaan RUU itu nanti, tiada lagi Ahli Parlimen berani bertukar parti.

- Advertisement -

“Tiada lagi kerajaan yang dibentuk tanpa melalui mandat rakyat kerana pindaan Perlembagaan itu sebagai satu pendekatan bagi menstabilkan politik negara.

“Tidak akan berlaku lagi dalam satu penggal, kita mempunyai sampai tiga orang Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

RUU tersebut dilulus di Dewan Rakyat setelah mendapat sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen, iaitu seramai 209 orang, manakala 11 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, setelah undi belah bahagi dijalankan.

RUU itu menetapkan seseorang Ahli Parlimen yang mendapat mandat rakyat menerusi pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenangi jika melompat parti.

Namun, kerusinya tidak akan hilang jika wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau jika partinya terbubar atau dibatalkan pendaftaran.

Dr Rusdi berkata, tanpa pindaan itu, aktiviti lompat parti akan terus berlaku sekali pun diadakan pilihan raya.

“Apabila RUU ini dilakukan, wakil rakyat yang hendak lompat parti tidak akan buat lagi. Ini suatu tindakan yang bijak untuk menyelesaikan kemelut politik di negara kita,” ujarnya.

Menurutnya, pendekatan itu menunjukkan kematangan Ahli Parlimen dalam melakukan sesuatu keputusan demi rakyat.

Katanya, kestabilan politik negara akan memberi kesan positif kepada negara, terutama perkembangan ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 29/7/22

- Advertisement -