Tragedi banjir Baling: Sekilas ‘performance’ Kerajaan Kedah

- Advertisement -

TRAGEDI banjir di Baling yang berlaku beberapa hari sebelum Aidiladha amat menyayat hati. Ditambah pula dengan pemergian 3 insan tidak bersalah akibat terperangkap dalam bencana yang berlaku sekelip mata itu, peristiwa ini pasti mendatangkan bekas yang mendalam kepada rakyat Kedah.

Bagi isu sebesar ini, pasti kita hendak tahu punca dan sebab bagaimana masalah seperti ini boleh berlaku. Faktor taburan hujan yang tinggi kita tidak boleh nafikan, namun pasti ada faktor lain kerana sejarah menunjukkan ada proses penyahutanan berlaku berdekatan kawasan terjejas. 

Akan tetapi aneh sekali, pihak pentadbiran semasa bawah Dato’ Sanusi Md Nor tidak pula bermain ‘blame game’kepada mana-mana pihak meskipun fakta menunjukkan pihak kerajaan semasa dan PAS Kedah telah cuba sedaya upaya mengelakkan masalah alam di kawasan terbabit. Jika ikutkan permainan politik biasa, inilah masanya untuk menjatuhkan kredibiliti lawan. Namun Budaya Politik Matang Sejahtera diamalkan Menteri Besar Kedah dengan membuat pendirian bahawasanya kita semua perlu menunggu laporan dan kajian rasmi.

Ada cubaan oleh beberapa cyber trooper politik dan pentaksub politik yang ingin menggambarkan kerajaan negeri bersifat lepas tangan dalam isu ini. Keratan akhbar disiarkan secara sekerat-kerat dan kronologi isu dipilih pada kerangka masa yang dikehendaki sahaja.

Sayang sekali, keprihatinan kerajaan Kedah mematahkan segala fitnah. Antara usaha yang digerakkan adalah bantuan RM3,000 buat setiap keluarga terjejas banjir bagi urusan sewa rumah dan utiliti selama 6 bulan. Dengan bantuan ini keluarga terjejas tidak perlu risau akan penempatan sementara dalam masa menanti kediaman ganti disiapkan.

Menyebut soal kediaman ganti. Setiap keluarga akan diberikan bantuan RM57,000 bagi kos membuat rumah baharu. Ini menjadi jaminan sekali gus memberi kelegaan kepada mangsa-mangsa bahawasanya ada berita baik dalam tragedi yang menimpa. Paling kurang mangsa boleh menarik nafas lega, masih ada bumbung untuk berlindung.

Kerajaan negeri tidak melihat kepada mangsa baru-baru ini sahaja, namun penduduk di kawasan yang berisiko juga dipertimbangkan. Kos berbilion ringgit diperlukan andai perpindahan semua penduduk dijalankan serentak, maka kerajaan negeri sedang merancang perpindahan secara berfasa mengikut stratifikasi risiko.

Sebagai persiapan dalam menghadapi bencana tidak terjangka pada masa akan datang, kerajaan negeri telah menubuhkan Tabung Bencana Kedah Care sebagai platform mengumpulkan dana bagi pengurusan bencana banjir negeri.

Usaha kerajaan negeri ini memadam api fitnah dan permainan media yang cuba menggambarkan perkara tidak betul terhadap Menteri Besar Kedah dan pentadbiran negeri. Hakikatnya musuh politik PAS Kedah sendiri merasa segan untuk terus bermain sentimen politik dalam isu ini apabila Menteri Besar Kedah mengumumkan tidak ingin bermain ‘blame game’. Hakikatnya kejayaan Menteri Besar Kedah mengelakkan isu ini meleret menjadi pergaduhan politik yang tidak menyelesaikan masalah rakyat adalah satu kejayaan besar jua. Inilah manifestasi Budaya Politik Matang Sejahtera yang diuar-uarkan PAS.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -