KEJADIAN menyaksikan 400 bakal jemaah yang tertipu dengan syarikat travel bagi urusan haji adalah senario yang kerap berulang.
Perkara ini tidak lain tidak bukan akibat sikap degil segelintir pengusaha yang tidak ingin berdaftar dengan Tabung Haji bagi urusan haji serta permainan manipulasi Visa Furada.
Visa Furada adalah visa khusus yang dikeluarkan bawah Duta Besar Diraja Arab Saudi di Malaysia kepada beberapa individu. Perkara ini membuka peluang kepada syarikat pelancongan untuk membuka slot Haji kepada individu yang mampu memberi bayaran dengan kadar tertentu.
Dalam bahasa mudahnya, kuota visa Furada bukanlah kuota negara sebagaimana bawah tanggungjawab Tabung Haji. Angka 14,306 orang adalah angka tetap yang diberikan tanpa perubahan buat Malaysia.
Ketetapan tegas dengan SOP yang pelbagai telah ditetapkan Arab Saudi bagi musim haji kali ini memandangkan dunia baru dalam fasa pemulihan dari pandemik COVID-19.
Namun begitu, masih ada individu bahkan bekas menteri yang jahil akan fakta ini. Terdapat cubaan untuk menyalahkan Tabung Haji dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berikutan tragedi bakal jemaah yang ditipu oleh kapitalis bertopengkan agama.
Menteri Agama YBM Dato’ Ustaz Idris Ahmad dengan terbuka membuka pintu 24 jam kepada SPRM bagi menyiasat keterlibatan TH dengan kartel atau sindiket penipuan haji. Ini adalah bukti jelas bahawasanya Tabung Haji bawah Menteri Agama telah berusaha dengan kapasiti yang ada bagi mengelakkan berlakunya lagi insiden penipuan sebegini.
Bahkan sejak awal lagi, Tabung Haji telah mengeluarkan garis panduan kepada umat Islam agar memilih syarikat yang berdaftar dengan Tabung Haji sahaja. Hal ini demi mengelakkan berlakunya insiden penipuan.
Sekembalinya Dato’ Ustaz Idris Ahmad ke Malaysia, satu pertemuan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayan bagi membincangkan isu Haji Furada, umrah serta strategi melaksanakan pengawasan lebih ketat akan dijalankan.
Insya-Allah kita sama-sama banteras kartel dan penipu umat Islam yang menunggang sentimen agama!
PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 15/7/2022
Tabung Haji bersih dari isu penipuan haji
- Advertisement -