Penyokong Thailand ceria sambut skuad Man U

Penyokong Manchester United di Lapangan Terbang Don Muang
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Kehadiran ratusan peminat Thailand menceriakan ketibaan pasukan Manchester United di lapangan terbang Bangkok untuk perlawanan persahabatan menentang seteru ketat Liga Perdana Inggeris, Liverpool, minggu depan.

“United! United!” jerit mereka apabila pasukan Liga Perdana Inggeris itu tiba, semalam.

- Advertisement -

Walaupun kecewa dengan ketiadaan Cristiano Ronaldo, peminat tetap teruja dengan jurulatih baharu, Erik ten Hag, yang disertai pemain tengah Bruno Fernandes, penjaga gol David De Gea dan penyerang Marcus Rashford yang mengetuai ketibaan.

“Saya agak kecewa kerana Ronaldo tidak menyertai lawatan ini. Saya mengaguminya kerana dia adalah idola saya,” kata Nadthapong O Charoenkul, 32, antara peminat di barisan hadapan di lapangan terbang Don Muang.

Manchester United dan Liverpool akan bermain Selasa ini, perlawanan kelab luar negara pertama di Thailand sejak wabak Covid-19 melanda. Liverpool yang diketuai penyerang Mohamed Salah dan penjaga gol Alisson Becker, pula dijangka tiba hari ini.

Jurulatih baharu, Erik ten Hag (dua dari kiri barisan depan) bersama pemain Manchester United
Peminat sabar menunggu ketibaan skuad Manchester United di Lapangan Terbang Don Muang

Perlawanan persahabatan pramusim adalah sebahagian jelajah pasukan sebelum musim Liga Perdana Inggeris bermula bulan depan. United kemudian akan ke Melbourne, Australia, manakala Liverpool berkunjung ke Singapura.

“Erik ten Hag adalah inspirasi kepada pasukan. Terdapat banyak peraturan yang pemain perlu sesuaikan diri dengan jurulatih dan strategi baharu. Jurulatih akan berjaya membawa pasukan ke tempat kedua pada musim akan datang,” kata Nadthapong yang menyokong Manchester United sejak 1999.

Penganjur menjual tiket berharga antara 5,000 Baht (RM617) hingga 25,000 Baht (RM3,087) untuk perlawanan itu yang habis dijual. Namun, laman sesawang jualan semula tiket berpangkalan di London, Viagogo, mendakwa mempunyai bilangan tiket yang terhad dengan harga tertinggi 144,000 Baht (RM17,781) – HARAKAHDAILY 10/7/22

- Advertisement -