Rebutlah tawaran Allah S.W.T pada Hari Arafah

- Advertisement -

DARIPADA Sayyidatina Aisyah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

- Advertisement -

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ.

”Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-Nya daripada neraka melebihi Hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka kepada para malaikat. Allah berfirman, ‘Apa yang diinginkan oleh mereka?”

(Riwayat Muslim (3354), Ibnu Majah (3014))

Dalam kitab Al-Musnad daripada Abdullah bin ‘Amru R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُبَاهِي مَلَائِكَتَهُ عَشِيَّةَ عَرَفَةَ بِأَهْلِ عَرَفَةَ فَيَقُولُ انْظُرُوا إِلَى عِبَادِي أَتَوْنِي شُعْثًا غُبْرًا.

“Sesungguhnya Allah berbangga di hadapan malaikat bagi mereka yang bermalam di Arafah, berada di Arafah. Allah berkata (kepada para malaikat): “Lihatlah kamu semua kepada hamba-hamba-Ku, mereka datang berhimpun kepada-Ku dengan keadaan yang berdebu dan kusut”.”

(Riwayat Imam Ahmad (7089), At-Tabarani (1504) di dalam Mu’jam al-Kabir)

Telah diriwayatkan juga oleh Sayyidina Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: 

“إِنَّ اللَّهَ يُبَاهِي بِأَهْلِ عَرَفَاتٍ مَلاَئِكَةَ أَهْلِ السَّمَاءِ ، فَيَقُولُ : انْظُرُوا إِلَى عِبَادِي هَؤُلاَءِ جَاءُونِي شُعْثًا غُبْرًا.

”Sesungguhnya Allah berbangga dengan ahli Arafah kepada para malaikat penghuni langit dengan berkata : “Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku, mereka telah berhimpun dan berkumpul di hadapan-Ku dalam keadaan berdebu dan kusut”.”

(Riwayat Ibnu Hibban (3852) di dalam Sahihnya.)

Diriwayatkan lagi daripada Hadis Jabir R.A Rasulullah S.A.W bersabda :

مَا مِنْ يوْمٍ أَفْضَلُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ يوْمِ عَرَفَةَ يَنْزِلُ اللَّهُ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيُبَاهِي بِأَهْلِ الأَرْضِ أَهْلَ السَّمَاءِ ، فَيَقُولُ : انْظُرُوا إِلَى عِبَادِي شُعْثًا غُبْرًا ضَاحِينَ جَاءُوا مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ يَرْجُونَ رَحْمَتِي ، وَلَمْ يَرَوْا عَذَابِي ، فَلَمْ يُرَ يَوْمٌ أَكْثَرُ عِتْقًا مِنَ النَّارِ مِنْ يوْمِ عَرَفَةَ.

”Tiada hari yang paling baik di sisi Allah melainkan Hari Arafah. Allah turun ke langit dunia dan bermegah-megah dengan penduduk langit untuk penduduk dunia, Lantas berkata: “Lihatlah kepada hamba-hambaKu, mereka berkumpul di hadapan dengan penuh debu, mereka datang dari semua penjuru yang jauh, mereka mengharapkan rahmat-Ku, dan tidak mengharapkan azab, Maka tidak dilihat hari yang lebih banyak pelepasan daripada api neraka daripada hari Arafah”.”

(Riwayat Ibnu Hibban (3853),Abu Ya’la (2036) di dalam Musnad)

Ibnu Mandah meriwayatkan dalam Kitab at-Tauhid dengan lafaznya, ”Apabila tiba Hari Arafah, Allah akan turun dari langit ke bumi, maka Dia bermegah-megah dengan malaikat, seraya berkata, ‘Lihatlah kamu kepada hamba-hamba-Ku, mereka datang kepada-Ku dengan berdebu dan dari seluruh penjuru yang jauh, saksikanlah oleh kamu semua (malaikat) kepada mereka, sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa mereka.”

Malaikat berkata : “Wahai Tuhanku, si fulan ini berada dalam keadaan yang teruk.’ Allah berkata, ‘Aku telah memberi keampunan kepada mereka. Tiada hari yang kebanyakan mereka terlepas daripada seksaan api neraka melainkan pada hari Arafah.” Beliau menyambung, sanadnya bersambung dan statusnya adalah hasan. Kami meriwayatkan dari sudut yang lain dengan sedikit penambahan dalamnya, iaitu,

“Saksikanlah kamu wahai hamba-Ku sesungguhnya Aku telah memberi keampunan kepada orang yang membuat baik, dan memaafkan orang yang berbuat jahat”.

Berdasarkan paparan daripada beberapa Hadis Rasulullah S.A.W ini, sayugia bagi kita umat Islam tidak melepaskan peluang keemasan untuk beramal pada Hari Arafah sekali pun tidak dapat bersama di padang Arafah.

Hidupkan sunnah berpuasa, perbanyakkan istighfar dan doa kepada Allah S.W.T sama ada untuk diri, keluarga, mahu pun seluruh Muslimin dan Muslimat serta anggota masyarakat umumnya.

Pengampunan Allah S.W.T kepada orang yang beriman pada Hari Arafah boleh diibaratkan seumpama tawaran pengampunan akhir tahun kepada hamba-hamba-Nya agar segala kesilapan sepanjang tahun itu tidak dibiarkan tertunggak begitu sahaja bahkan ianya adalah usaha membersihkan diri daripada dosa dan noda sebagai persediaan untuk menempuhi cabaran tahun baharu 1444 Hijrah.

Justeru PAS Johor menyeru seluruh umat Islam agar dapatlah kiranya merebut peluang terbuka ini untuk kita bermujahadah, bermuhasabah dan melakukan ihsan semata-mata untuk mencapai redha Allah S.W.T.

Pertautkan hati, perkukuhkan persaudaraan, bina persefahaman, lupakan perseteruan, utamakan perpaduan, berikan kemaafan, semoga kita dipersilakan ke syurga di akhirat dengan salam. 

“Islam Menyatukan Ummah”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI,
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 7/7/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!