Muhammad, nama bayi baru lahir paling popular 2022 di UK

- Advertisement -

LONDON: Muhammad merupakan nama pilihan paling popular bagi bayi lelaki yang baru dilahirkan di United Kingdom untuk tahun 2022, setakat awal bulan Julai ini.

Senarai terbaharu 100 nama pilihan paling popular (atau Top 100) sehingga awal Julai 2022 untuk bayi lelaki dan perempuan baru lahir itu telah dikeluarkan oleh platform web, BabyCentre pada Selasa (5 Julai) lepas.

Selepas Muhammad, menurut laporan gbnews.uk, Noah menduduki tempat kedua dalam senarai nama bayi lelaki popular, diikuti rapat oleh Jack, Theo, Leo, Oliver dan George. Sementara Ethan, Oscar dan Arthur melengkapkan 10 nama teratas nama bayi paling popular tahun ini.

- Advertisement -

Nama Muslim menyumbang kira-kira 10 peratus daripada semua nama dalam 100 kedudukan teratas untuk lelaki dan wanita di UK menurut sebarai yang dikeluarkan syarikat media dalam talian, BabyCentre, lapor pula Daily Mail.

Selain Muhammad, nama lelaki teratas paling popular di UK termasuklah Ali di kedudukan ke-31, Yusuf (ke-53), Ayaan (ke-61), Ahmad (ke-63), Omar (ke-72), Abdullah (ke-77), Abdul (ke-84), Ibrahim (ke-92) dan Syed (ke-94).

Sementara, tambah laporan Daily Mail, nama bayi perempuan Muslim paling popular di UK ialah Layla, di tempat ke-24. Ia diikuti oleh Fatima (ke-27), Nur (ke-29), Maryam (ke-33), Aisha (ke-37), Aaliyah (ke-60), Raya (ke-92), Nora (ke-95) dan Anaya (ke-98).

Menurut gbnews.uk pula, nama Lily buat pertama kali telah merampas takhta nama pilihan paling popular untuk bayi baru lahir di UK daripada Olivia yang jatuh ke tempat ketiga.

Di tempat kedua senarai tersebut ialah Sophia, manakala Amelia menduduki tempat keempat. Melengkapi senarai Top 10 dari kedudukan kelima hingga sepuluh ialah Ava, Isla, Freya, Aria, Ivy dan Mia.

Dalam pada itu, nama seperti Amber, Johnny, Wayne, Coleen dan Rebekah gagal memasuki senarai Top 100, yang mana BabyCentre percaya trend ekoran kes saman di mahkamah olejh aktor tersohor, Johnny Depp terhadap bekas isterinya, aktres Amber Heard baru-baru ini.

Editor pengurusan untuk BabyCentre, Sarah Redshaw berkata bahawa golongan ibu bapa membuktikan mereka adalah hakim dan juri dalam hal menamakan bayi masing-masing yang baru dilahirkan.

“Saya meramalkan kesan mahkamah antara Johnny (Depp) dan Amber (Heard) akan berterusan dan kita akan melihat nama-nama itu jatuh lebih jauh dalam carta Top 100 nama bayi pilihan paling popular di United Kingdom pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2022

- Advertisement -