Juara Serie A, AC Milan, mengumumkan kelab itu telah melengkapkan perpindahan bekas penyerang Liverpool, Divock Origi, secara percuma.
Origi meninggalkan Anfield pada penghujung musim lalu, menamatkan tempoh lapan tahun di kelab itu, tetapi jarang diturunkan bermain. Dia menandatangani perjanjian bersama Milan sehingga Jun 2026.
Ketika di Liverpool, pemain Belgium itu sering menjadi pemain gantian, tetapi setiap kali diberi peluang akan mempamerkan aksi yang memberi kemenangan kepada kelab itu.
Jaringannya pada minit ke-95 menentang Everton pada 2018 membuatkan jurulatih, Juergen Klopp, meraikan kemenangan itu dengan berlari di padang. Dia juga menjaringkan gol kedua dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2019, selain dua gol dalam kemenangan terkenal 4-0 Liverpool mengatasi Barcelona.
Origi memberikan yang terbaik kepada Liverpool menghadapi saingan sengit, Everton, dengan tandukan selepas bangun dari bangku simpanan di Anfield untuk membolehkan kemenangan 2-0 dalam saingan setempat Merseyside yang sengit.
Jaringan itu juga adalah yang keenam sepanjang karier pemain berusia 27 tahun itu menentang Everton, selain menjaringkan 11 gol ketika bergelar pemain gantian dalam Liga Perdana, yang paling banyak dilakukan oleh pemain Liverpool.
Dia meninggalkan kelab itu selepas menjaringkan 41 gol dalam 175 penampilan dan menyertai pasukan Milan yang memenangi Scudetto pertama dalam tempoh 11 tahun pada musim lalu, di bawah jurulatih Stefano Pioli. – HARAKAHDAILY 6/7/22