Kenaikan harga barang, inflasi global: Saudi kawal manipulasi harga

Dr Majid Al-Qasabi pada sidang media komunikasi kerajaan Saudi secara berkala Saudi di Riyadh, Arab Saudi pada 5 Julai 2022 (FOTO Saudi Gazette)
- Advertisement -

Susunan NORHANA MAT ZIN

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi kini sedang mengambil semua langkah sewajarnya bagi  mengelak sebarang manipulasi harga kesan kenaikan harga  barang dan inflasi global yang bakal menyebabkan setiap keluarga dan isi rumah serta seluruh dunia menderita.

Menteri Perdagangan, Dr Majid Al-Qasabi mengesahkan mengenai perkara tersebut semasa berlangsungnya sidang media komunikasi kerajaan secara berkala Saudi di sini pada Selasa, lapor Saudi Gazette.  

- Advertisement -

Beliau berkata, akibat pandemik Covid-19 telah menyebabkan berlakunya tsunami ekonomi, sosial dan psikologi sehingga ia dianggap sebagai krisis terbesar yang melanda dan menjejaskan seluruh dunia.

Dr Al-Qasabi turut menyenaraikan lima peristiwa global yang membawa kepada kenaikan harga dalam tempoh dua tahun lalu, bermula dari 2020 hingga ke hari ini.

Beliau berkata pada Februari 2020, Covid-19 yang melanda dunia telah membawa kepada perintah berkurung dan mengehadkan perjalanan dan pengangkutan. 

Kemudian pada Mac 2021 dan selepas pemulihan pandemik Covid-19 didapati permintaan telah meningkat berbanding penawaran.

Krisis perang di Ukraine telah memberi impak terhadap ekonomi global ketika ini. (FOTO NEW YORK TIMES)

Al-Qasabi juga menjelaskan bahawa kebergantungan pelayaran melalui Terusan Suez turut mempunyai kesan yang ketara terhadap perkembangan semasa ekonomi global. Julai 2021 merupakan fasa kedua perintah berkurung Covid-19 menyebabkan beberapa perkara tidak dapat dilaksanakan.  

Menjelang Februari 2022 telah menyaksikan satu peristiwa yang meningkatkan impak iaitu krisis antara Rusia dan Ukraine. 

Dr. Al-Qasabi turut mengesahkan bahawa pandemik Covid-19 dan krisis Ukraine-Rusia telah mengganggu banyak operasi pelabuhan di seluruh dunia.

Kesan peristiwa global

Beliau menjelaskan, kesan daripada peristiwa global terhadap harga telah menyebabkan beberapa perkara berlaku terutamanya melibatkan krisis pengangkutan dan rantaian bekalan yang membawa kepada gangguan beberapa pelabuhan pengangkutan seperti pelabuhan utama Shanghai di China. 

Kos pengangkutan dan penghantaran telah meningkat kepada kira-kira enam kali ganda. Selain itu, telah berlaku juga kenaikan harga insurans perkapalan.

Kesan pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah mencetuskan tsunami ekonomi, sosial dan psikologi global. (FOTO CodeBlue)

Al-Qasabi turut memberitahu, telah berlaku kelemahan dalam sektor pengeluaran dan pembuatan yang menyebabkan kekurangan tenaga buruh dan penurunan tahap pengeluaran makanan dan pembuatan komoditi, lapor pula Arab News.

“Sementara itu, kenaikan harga tenaga dan bahan mentah menyebabkan kos pengangkutan dan penghantaran meningkat. Ini berikutan harga bahan api yang tinggi, selain kenaikan kos operasi kilang dan barisan pengeluaran,” jelasnya.

Tambahnya, catuan eksport strategik dari beberapa negara turut memberi kesan yang ketara, di mana ia membawa kepada kenaikan harga gandum, gula, makanan ternakan, daging dan ayam.

“Kenaikan harga yang berbeza antara setiap negara menunjukkan bahawa terdapat komoditi di Saudi yang harganya lebih rendah daripada negara jiran.

“Kos pengeluaran dan eksport global meningkat selepas pulih daripada wabak itu dan kos barangan import yang tinggi menyebabkan mereka meningkat di dalam negara. 

“Arab Saudi adalah sebahagian daripada dunia dan dipengaruhi oleh peristiwa global tetapi kepentingannya terletak pada cara menghadapi krisis,” katanya.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman sangat menekankan keperluan untuk mengambil kira akan kepentingan rakyat Saudi dalam menghadapi situasi semasa ekonomi global. (FOTO dw.com)

Pantau 217 komoditi

Dr. Al-Qasabi mengesahkan bahawa mereka memantau 217 komoditi setiap hari kerana mereka mengambil semua langkah yang sesuai untuk menghadapi sebarang manipulasi atau keterlaluan dalam harga.

Menteri perdagangan itu turut mengesahkan bahawa pasukan penyelia telah menjalankan lebih daripada 640,000 operasi untuk memantau harga barang. Sebanyak 27,000  didapati telah melanggar peraturan harga barang yang telah ditetapkan. 

Beliau menegaskan, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan yang sewajarnya, sambil memberitahu bahawa kewujudan jawatankuasa keselamatan makanan yang sentiasa memantau ketersediaan komoditi, selain mekanisme untuk menghadapi krisis.

Kebergantungan pelayaran melalui Terusan Suez turut mempunyai kesan yang ketara terhadap perkembangan semasa ekonomi global. (FOTO Asharq Al-awsat)

Penjaga dua masjid suci Raja Salman sehubungan itu telah mengeluarkan perintah diraja pada Isnin yang telah meluluskan peruntukan SR20 bilion untuk menghadapi impak kenaikan harga global termasuk SR10 bilion untuk benefisiari keselamatan sosial dan Program Akaun Rakyat.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebelum ini menekankan keperluan untuk mengambil kira rakyat yang memerlukan dalam menghadapi perkembangan antarabangsa yang mengakibatkan peningkatan kos terhadap keperluan asas.

Beliau menegaskan, peranan penting kementerian dan agensi kerajaan adalah memantau perkembangan antarabangsa yang berkaitan dengan rantaian bekalan, memantau pasaran, ketersediaan produk, tahap harga, melindungi dan menggalakkan persaingan yang adil dan memerangi dan mencegah amalan monopoli yang menjejaskan persaingan yang sah dan kepentingan pengguna.

Pada akhir sidang media, Dr. Al-Qasabi menyeru semua orang untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dan melaporkan sebarang manipulasi harga dengan menghubungi  talian pada nombor 1900. – HARAKAHDAILY 6/7/2022

- Advertisement -