YIK rangka pelan tindakan tingkat semula prestasi pelajar

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Yayasan Islam Kelantan (YIK) merangka pelan tindakan yang lebih proaktif di setiap sekolah bermula tahun ini bagi meningkatkan semula prestasi peperiksaan di semua peringkat.

Pengarahnya Engku Rajhan Engku Ismail berkata, usaha itu bagi meningkatkan kecemerlangan peperiksaan di semua peringkat sekolah YIK berikutan pencapaiannya agak tidak memuaskan khususnya Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumumkan hari ini.

“Walaupun kita sedar perkara itu berlaku disebabkan masaalah pembelajaran secara maya, PdPR dan sebagainya, namun usaha meningkatkan kecemerlangan itu mesti dilakukan.

- Advertisement -

“Saya percaya pengetua-pengetua telah memberitahu setiap tenaga pengajar di sekolah masing-masing berhubung perkara itu,” ujarnya pada sidang media selepas pengumuman keputusan Peperiksaan STAM Tahun 2021 di Kompleks YIK Tunjong, di sini, hari ini.

Menurutnya setiap tenaga pengajar perlu merangka pelan tindakan itu untuk mengadakan kelas tambahan dengan pelbagai bantuan sokongan.

Kata beliau kerajaan negeri dan YIK sentiasa berusaha untuk membekalkan sebahagian peralatan bantuan mengajar seperti kemudahan ICT, komputer riba, alat pandang dengar dan peralatan lain kepada setiap sekolah.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan dua pelajar Maahad Muhammadi Lelaki tersenarai antara pelajar 10 Mumtaz iaitu Muhammad Fathul ‘Alim Ahmad Zawawi dan Tuan Amir Fauzan Tuan Soh.

Dua lagi pelajar yang mendapat 10 Mumtaz dari Maahad Muhammadi Tumpat, Ahmad Hafifi Husaini Che Mohamad dan Wan Ahmad Izani Wan Zainuddin.

Manakala anak Adun Limbongan, Nazlan Mohamed Hasbullah, Imtiyaz Nazlan (foto atas) muncul antara tiga pelajar terbaik Maahad Muhammadi Perempuan apabila memperolehi 8 Mumtaz pada peperiksaan itu. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -