Ada banyak alternatif bagi pawagam – Mohd Amar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tanpa PAS mengadakan dasar untuk tidak membuka pawagam di Kelantan, hakikatnya telah banyak pawagam di seluruh negara ditutup berikutan hiburan seumpama boleh didapati menerusi pelbagai pilihan pada masa kini.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah menjelaskan, pilihan hiburan tersebut kini banyak tersedia secara meluas sejak dunia semakin terbuka dan beralih kepada digital di mana ianya telah berada di hampir setiap kediaman termasuk di hujung jari.

“(Pawagam) Coliseum sendiri, apa semua tutup. Federal semua tutup sekarang ini. GSC kalau tak silap saya, itu pun sudah berapa banyak yang tutup. Sebab kalau tak ada pawagam pun orang boleh tengok filem.

“Sekarang ini ada pawagam di rumah, Netflix sebagai contohnya. Netflix itu ‘more than cinema’. Kita (tengok di telefon pintar pun boleh). Jadi kenapa kita besarkan isu pawagam ini? Sebab itu bagi saya, benda ini bukan satu isu yang besar.

“Dan kita tidak menghalang orang nak berhibur, nak tengok masuk wayang di mana-mana itu kita tak ada hak nak larang,” ujarnya yang berkeudara pada temubual dalam rancangan Feng Ren Guan bersama Penganalisis Massa, Lum Chih Feng, semalam.

Mempertahankan tindakan Pemuda PAS yang menonton filem Mat Kilau di pawagam, beliau berkata hal tersebut menunjukkan bahawa PAS tidak menyekat hiburan sekiranya ia baik dan boleh diterima yakni tidak bercanggah syariat Islam.

Chih Feng lebih dahulu senada dengan hal itu apabila menyifatkan tindakan Pemuda PAS tersebut merupakan satu bentuk perspektif dan simbol sokongan serta semangat terhadap filem Mat Kilau dan bukannya berkehendakkan kepada hiburan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu turut menegaskan, prinsip sama dipegang di negeri Kelantan di mana ia dilaksanakan menerusi enakmen hiburan sebagai satu bentuk peraturan serta garis panduan dan bukannya menyekat semua hiburan.

Jelas beliau, Kelantan sejak zaman Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi telah berbincang panjang perihal pawagam dengan melihat kepada pro dan kontra serta suasana negeri di mana berpendirian tiada keperluan untuk membenarkannya.

“Di Kelantan, rakyat sendiri tidak bising tentang isu pawagam. Tak ada (isu) bagi mereka. Sebab mereka boleh tengok macam saya sebut tadi dalam Netflix. Netflix ini you boleh tengok semua.

“Jadi kenapa you perlu pergi duduk bayar duit di pawagam apa semua, satu jam dua jam? You duduk rumah sambil makan kuaci pun you boleh tengok. Cuma timbul isu pawagam ini bila ada filem Mat Kilau saja.

“Tiba-tiba, dia ada orang yang ambil kesempatan untuk jadikan isu politik. Kebetulanlah dekat pilihan raya kan?” sindir beliau yang juga ADUN Panchor. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -