Orang akan tercari-cari kursus Fasa Bulan Madu

- Advertisement -

BENTONG: Orang akan tercari-cari Kursus Pasca Perkahwinan Islam: Fasa Bulan Madu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau percaya apabila pengisian serta olahannya baik, mendatangkan kesan positif kepada hubungan suami isteri, program itu akan menjadi buah mulut orang.

Menurutnya, dengan itu orang akan tercari-cari kursus anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu.

“Alhamdulillah, saya melafazkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul pada pagi yang penuh bermakna ini,” ujarnya ketika merasmikan Kursus Pasca Perkahwinan Islam: Fasa Bulan Madu di Janda Baik, hari ini.

- Advertisement -

Katanya, beliau secara peribadi juga ingin mengucapkan terima kasih setinggi-tingginya kepada para peserta kursus yang terdiri daripada pasangan suami isteri, yang secara sukarela mengikutinya.

“Jadi kesediaan tuan puan semua hadir kursus ini, ia menjadi tanda kita semua amat menyayangi isteri, suami dan anak-anak kita,” ujarnya lagi.

Persoalannya, kata beliau setelah berkahwin 15, 25 dan 30 tahun adakah sakinah, mawaddah dan rahmah masih wujud.

Beliau berkata, kalua pun masih wujud adakah ia makin tebal rasanya atau sudah makin menipis.

“Makin rasa hambar perkahwinan kita sehingga mencetus bibit-bibit kerapuhan rumahtangga. Itu persoalannya sekarang,” tambahnya.

Oleh kerana itu, ujar beliau JAWI dan JAKIM bersungguh-sungguh mahu mengetengahkan program itu kepada masyarakat yang bersifat sukarela.

“Kita tidak boleh lakukan seperti Kursus Praperkahwinan sebagai perkara yang perlu dihadiri oleh bakal pengantin,” katanya.

Tambahnya, modul Kursus Pasca Perkahwinan Islam dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seluruh Malaysia, agensi-agensi kerajaan seperti Bahagian Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), perunding psikologi, perunding kewangan serta pensyarah-pensyarah universiti.

JAKIM juga, katanya bertanggungjawab melatih penceramah dan fasilitator mengikut kehendak modul dan mereka itu diberi Sijil Kursus Asas yang dikeluarkan oleh JAKIM manakala JAIN dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan modul tersebut di peringkat negeri.

Beliau difahamkan bahawa Kursus Pascaperkahwinan Islam yang diadakan mengguna pakai modul yang telah dibangunkan oleh JAKIM.

Menurutnya, modul itu diwujudkan bagi membantu pasangan suami isteri mengatasi konflik rumahtangga yang timbul sekali gus membantu memberi kefahaman dan pendidikan kekeluargaaan kepada mereka.

Idris mengharapkan agar pelaksanaan program itu akan mencapai objektifnya dan memberi pemahaman yang jelas berkaitan ilmu dan kemahiran berkeluarga dalam menyemarakkan rasa cinta agar kebahagiaan hakiki di dunia mahupun di akhirat dapat dikecapi.

Katanya, usaha murni itu wajar diteruskan dari semasa ke semasa dengan pendekatan dan strategi yang lebih efektif kepada sasarannya.

Tambahnya, pelbagai pihak juga perlu mengambil bahagian secara menyeluruh dan berterusan demi kesejahteraan keluarga, bangsa dan negara. – HARAKAHDAILY 25/6/2022

- Advertisement -